fbpx
Kadar caruman pekerja gig tidak sampai RM1.

Akta Pekerja Gig 2025 perkukuh industri, jamin hak pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] dilihat sebagai langkah penting kerajaan dalam memperkukuh masa depan ekonomi gig di negara ini.

Akta yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac lalu itu dijangka memberi perlindungan lebih ­me­nyeluruh kepada pekerja gig termasuk aspek keselamatan sosial dan kebajikan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pe­ngurusan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Siti Suraya Abd. Razak berkata, perkembangan ekonomi gig global menunjukkan peningkatan ketara sejajar kemajuan teknologi digital.

Katanya, kira-kira 12 peratus tenaga kerja dunia kini terlibat dalam pekerjaan gig.

“Di Malaysia pula, lebih 25 pe­ratus tenaga kerja terlibat dalam sektor ini dan ia menjadi sumber pendapatan alternatif kepada ramai rakyat.

“Ekonomi gig turut berkembang kerana menawarkan fleksibiliti kerja selain peluang menjana pendapatan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kos­mo!.

Siti Suraya

Menurut beliau, golo­ngan belia antara kumpulan terbesar yang menyertai sektor tersebut.

Tambahnya, Malaysia juga menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara yang memper­kenalkan undang-undang khusus bagi mengawal selia sektor ekonomi gig.

Jelas beliau, sebelum ini pekerja gig tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955.

“Situasi itu menyebabkan mereka tidak layak menerima perlindungan asas seperti pekerja formal lain.

“Antara isu utama ialah pekerja gig tidak menerima cuti berbayar, tiada jaminan pendapatan minimum dan tidak mempunyai caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mereka juga tidak mem­pu­nyai mekanisme pampasan kecederaan pekerjaan yang jelas,” ujarnya.

Keadaan tersebut kata­nya, ­menyebabkan pekerja gig ber­de­pan risiko ekonomi dan sosial yang tinggi.

Sehubungan itu, Akta 872 memperkenalkan definisi khusus bagi istilah pekerja gig dan entiti kontrak.

Kata beliau, pekerja gig ditakrifkan sebagai individu warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang mempunyai perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak.

Takrifan itu sekali gus membolehkan pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial dan kebajikan di bawah akta tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini perlindungan sosial pekerja gig dilaksanakan secara prabayar.

Pekerja gig bertanggungjawab untuk mengambil pelan perlindungan untuk menjaga kebajikan.

“Pekerja perlu membuat bayaran sendiri terlebih dahulu sebelum menikmati perlindungan. Bayaran tahunan pula agak tinggi iaitu antara RM157.20 hingga RM592.80 setahun.

“Keadaan itu menyebabkan ramai pekerja gagal meneruskan perlindungan secara konsisten,” katanya.

Siti Suraya berkata, di bawah Akta 872, entiti kontrak diwajibkan mendaftarkan pekerja gig di bawah skim keselamatan sosial serta potongan caruman mandatori juga akan dilakukan secara automatik.

Ujarnya, pendekatan baharu itu menggunakan mekanisme potongan caruman melalui penyedia platform yang akan membuat potongan 1.25% untuk setiap transaksi yg dilakukan oleh pekerja gig.

“Kadar caruman juga lebih rendah iaitu RM0.0125 bagi setiap RM1 pendapatan. Kaedah automatik ini memastikan perlin­dungan pekerja tidak terputus,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, akta tersebut turut memper­ke­nalkan mekanisme penyelesai­an pertikaian yang lebih jelas dan sistematik.

Menurutnya, proses penyele­saian bermula melalui saluran dalaman sebelum dirujuk kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

“Sekiranya gagal diselesaikan, kes akan dibawa ke Tribunal Pekerja Gig.Tribunal ini akan mende­ngar dan memutuskan pertikaian melibatkan pekerja gig serta entiti kontrak.

“Sebelum ini pekerja gig tidak mempunyai saluran khusus untuk mempertahankan hak me­reka,” katanya.

Selain itu, Akta 872 turut memperkenalkan penubuhan Majlis Perundingan Gig yang ma­na ia berfungsi sebagai platform melibatkan kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.

“Majlis berkenaan akan membincangkan isu kritikal termasuk kadar bayaran pekerja gig dan kebajikan mereka.

“Pendekatan ini menjadikan dasar yang digubal lebih inklusif dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan akta itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah kepada entiti kontrak dan pengguna.

Jelas Siti Suraya, entiti kontrak hanya perlu mematuhi syarat pengurusan lebih telus tanpa menanggung kos tambahan secara langsung.

“Akta itu juga melarang tindakan menggantung atau memecat pekerja tanpa alasan munasabah. Bayaran kepada pekerja juga tidak boleh dipotong sesuka hati.

“Ini meningkatkan keyakinan pekerja terhadap platform ekonomi gig,” katanya.

Beliau berkata, apabila kebajikan pekerja lebih terjamin, produktiviti dan kualiti perkhidmatan juga dijangka meningkat.

“Pengguna turut memperoleh manfaat melalui perkhidmatan yang lebih stabil, selamat dan berkualiti.

“Pekerja yang dilindungi dan dilayan secara adil cenderung memberi perkhidmatan lebih baik serta beretika.

“Situasi ini akan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap sektor ekonomi gig,” katanya.

Beliau menambah, walaupun cabaran pelaksanaan masih wujud, Akta Pekerja Gig 2025 merupakan langkah penting dalam membina ekosistem pekerjaan lebih adil dan mampan di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN