PETALING JAYA – Delegasi Malaysia melibatkan 29 peserta antara diculik tentera Israel ketika dalam pelayaran misi kemanusian Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dilaporkan selamat tiba di Turkiye lewat malam tadi (waktu Malaysia) dengan menaiki Turkish Airlines.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi satu hantaran rasmi Sumud Nusantara Official dan pasukan itu turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas doa serta sokongan yang diberikan sepanjang misi berlangsung.
“Alhamdulillah, semua delegasi kita telah selamat sampai di Turkiye dan melepasi segala dugaan.
“Terima kasih atas sokongan dan doa yang menjadi perisai buat pasukan Sumud Nusantara. Kami meneruskan perjuangan dengan semangat yang lebih membara!,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menaja tiga buah kapal terbang Turkish Airlines untuk memindahkan kesemua 428 aktivis termasuk 29 rakyat Malaysia daripada Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul.
Beliau menambah, delegasi negara akan terbang dan kembali ke tanah air pada 23 Mei bersamaan hari Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei (Ahad). – KOSMO! ONLINE














