fbpx
Gambar hiasan.

Bekas pekerja Astro ubah 731 akaun pelanggan dipenjara 4 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan Astro yang sebelum ini pengsan ketika dituduh atas 731 pertuduhan dihukum penjara empat tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah.

Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan hukuman penjara ke atas Nora Idayu Jaafar, 49, bermula tarikh sabitan, hari ini.

“Mahkamah memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada penjamin dan mahkamah ingin memberikan nasihat dan amaran.

“Mahkamah ambil kira semua hujahan tadi agar hukuman ini dijatuhkan supaya kamu mendapat kesedaran dan keinsafan dan tidak akan mengulanginya selepas kamu menjalani hukuman ini,” katanya.

Nora Idayu sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan namun menukar pengakuannya pada prosiding hari ini yang sepatutnya hari pertama perbicaraan kes itu.

Jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira lima jam untuk membacakan semula kesemua 731 pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Nora Idayu yang bertugas di Unit Sokongan Komersial didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar 731 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat, yang mana beliau mengetahui perbuatan itu akan menyebabkan perubahan kandungan pangkalan data tanpa kuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak di sini mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Nora Idayu yang merupakan seorang pekerja Astro sejak 2003 telah diberikan akses kepada sistem dalaman Astro iaitu AMDOCS Customer Relationship Management (CRM) melalui dua ID pengguna yang didaftarkan atas namanya.

Hasil semakan terhadap sistem Enterprise Data Warehouse (EDW) dan CRM mendapati terdapat transaksi akaun pelanggan biasa yang telah ditukarkan secara tidak sah kepada akaun korporat dengan transaksi tersebut telah dilakukan menggunakan dua ID tertuduh bermula 30 Oktober 2013 hingga 20 Ogos 2020.

Tertuduh juga telah melakukan transaksi tidak sah dalam sistem CRM melibatkan 731 akaun pelanggan biasa dan 824 kad pintar serta dekoder Astro.

Tindakan tertuduh tidak dibenarkan oleh Astro kerana akaun korporat merupakan akaun tidak berbayar yang hanya diwujudkan untuk kegunaan dalaman Astro dan pelanggan biasa sepatutnya menggunakan akaun pelanggan berbayar dan bukannya menikmati perkhidmatan Astro melalui akaun korporat tanpa kebenaran.

Terdahulu, peguam bela, Daniel Annamali memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara empat tahun yang berjalan secara serentak dan turut menghidap gangguan bipolar jenis 2.

“Tertuduh telah disahkan mengidap gangguan bipolar dan laporan kesihatan telah mengesahkan beliau mempunyai sejarah panjang keresahan dan kemurungan.

“Malah, tertuduh membuat kesalahan ini akibat daripada tekanan domestik bekas suaminya yang juga adalah seorang penjudi tegar. Dengan balasan wang daripada perbuatan tersebut, tertuduh terpaksa untuk menampung keluarga dan menampung bekas suaminya,” katanya.

Tambahnya, hukuman yang terlalu berat dikhuatiri akan memburukkan lagi tahap kesihatan mental tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud memohon hukuman yang lebih berat kerana kesalahan tertuduh adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

Menurutnya, kesalahan itu dilakukan secara berterusan dalam tempoh yang sangat panjang iaitu hampir 7 tahun iaitu dari 30 Oktober 2013 sehingga 20 Ogos 2020.

“Tempoh berlaku yang panjang itu menunjukkan perbuatan tersebut dilakukan secara konsisten,
disengajakan dan sistematik.

“Perbuatan tertuduh telah menjejaskan integriti dan kebolehpercayaan terhadap sistem komputer milik syarikat Astro, khususnya sistem CRM yang merupakan sistem utama pengurusan pelanggan dan transaksi Astro,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN