fbpx
Muhammad Sanusi

Sanusi kekalkan Exco, Timbalan Speaker dipecat sehingga selesai rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang Bersatu kekal sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Exco Kerajaan Negeri sehingga proses rayuan selesai.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ADUN Sungai Tiang, Abd Razak Khamis dan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani berhak mengemukakan rayuan terhadap keputusan parti itu.

“Saya difahamkan mereka yang dikenakan tindakan itu boleh merayu dalam tempoh 14 hari dan saya dimaklumkan mereka telah mengemukakan rayuan. Sehingga rayuan itu didengar mengikut proses dan prosedur yang munasabah, saya tunggu dahulu proses tersebut.

“Setakat ini jawatan mereka kekal. Satu kesalahan tidak boleh dihukum dua kali. Sudah dihukum, kemudian dihukum lagi. Jadi kita tunggulah prosesnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak mahu terburu-buru membuat keputusan termasuk menggantikan mereka dengan pemimpin lain selagi proses berkenaan belum selesai.

“Di Kedah ini kami tenang, tiada isu dan tiada masalah. Ini isu dalaman parti. Tan Sri (Muhyiddin Yassin) pun sudah jumpa saya. Saya juga telah mengadap dan mendapatkan pandangan serta nasihat kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah bagi menjaga keharmonian negeri.

“Jadi saya tidak boleh tergopoh-gapah. Katakan saya buang mereka tetapi Jawatankuasa Rayuan Bersatu menarik balik keputusan itu, kasihan pula kepada mereka. Kalau begitu, tempat sudah diisi orang lain, takkan hendak duduk atas riba,” katanya.

Bersatu pada Jumaat lalu menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Mohd Radzi Manan memaklumkan Dzowahir Ab Ghani dan Abd Razak Khamis dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Terbaharu, ADUN Derga, Mohamad Amri Wahab yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pokok Sena digantung hak keahlian selama dua penggal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN