ISTANBUL – Aston Villa berjaya memastikan trofi Liga Europa kekal di bumi England selepas menewaskan Freiburg dengan kemenangan bergaya 3-0 dalam aksi final bersejarah di Stadium Tupras, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, dua gol menarik daripada Youri Tielemans dan Emiliano Buendia sebelum jaringan Morgan Rogers memastikan Villa muncul juara dan meraih trofi utama pertama sejak menjuarai Piala Liga England (EFL) pada 1996 dan Piala Eropah edisi 1982.
Tielemans mengakui kejayaan tersebut cukup bermakna selepas Villa mengharungi musim yang penuh mencabar.
“Perasaan kami cukup luar biasa, pasukan bermain sebagai satu pasukan, memberikan persembahan terbaik dan berjaya menutup musim ini dengan trofi berprestij.
“Pujian wajar kepada pemain dan barisan kejurulatihan kerana kami terus bekerja keras dan percaya sehingga berjaya memenangi trofi ini,” katanya.
Sementara itu, Buendia yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan menyifatkan kejayaan Villa adalah hasil sentuhan ‘magis’ Emery sejak membimbing pasukan lebih tiga tahun lalu.
“Kami berkembang bersama-sama musim demi musim sejak Emery tiba. Kami mengharungi kempen Liga Europa yang sangat hebat dan kredit harus diberikan kepada seluruh pasukan,” katanya.
Ini adalah musim kedua kelab England bergelar juara Liga Europa berturut-turut selepas Tottenham Hotspur menang pada tahun lalu. – AGENSI














