fbpx
QUARTARARO meluahkan kekecewaan terhadap kemampuan projek V4 Yamaha berdasarkan ujian di Misano kelmarin. - AFP

MotoGP: Quartararo perlu lebih bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MISANO, Itali – Pelumba berpengalaman, Jack Miller menggesa Fabio Quartararo agar lebih bersabar selepas juara dunia 2021 itu secara terbuka mengkritik enjin V4 baharu Yamaha yang gagal menyerlah pada sesi ujian rasmi di Litar Misano kelmarin.

Miller yang baru menandatangani kontrak bersama Pramac Racing hingga 2026, tampil meredakan ketegangan selepas Quartararo mendakwa jentera tersebut masih gagal mengatasi masalah kronik yang sekian lama membelenggu pasukan dari Jepun itu.

Menurut Miller, Quartararo perlu memahami bahawa pembangunan sebuah jentera baharu tidak boleh diukur dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan masa, kesabaran dan keyakinan terhadap kemampuan barisan jurutera.

“Saya tahu Yamaha sedang melakukan segala yang mungkin dan saya faham perasaan Quartararo. Dia perlukan jentera berprestasi tinggi, tetapi perkara sebegini memerlukan masa.

“Malangnya, dalam sukan ini, tiada masa dan saya faham keinginan serta tekanan dirasainya kerana kita semua tahu bakat besar yang dia miliki. Tiada keraguan tentang itu,” kata Miller.

Kenyataan itu dibuat susulan keluhan Quartararo yang lantang mempersoalkan hala tuju projek V4 Yamaha selepas ujian Misano menyaksikan keempat-empat jentera mereka berada di kelompok terbawah catatan masa.

Miller memilih untuk kekal positif sambil menegaskan Yamaha mampu melakukan kemajuan besar jika diberi ruang.

“Kita boleh dapatkan kuasa pecutan yang lebih baik, itu bukan masalah utama. Cabaran sebenar adalah elektronik dan perisian.

“Saya percaya barisan jurutera Yamaha mempunyai kepakaran untuk membina jentera setanding dengan pasukan lain yang sudah lama menggunakan teknologi V4,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN