MANILA – Beribu-ribu rakyat Filipina berhimpun di Manila hari ini untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap skandal membabitkan projek kawalan banjir palsu yang dipercayai menelan belanja berbilion dolar.
Kemarahan terhadap apa yang dipanggil ‘projek infrastruktur hantu’ itu semakin memuncak di negara Asia Tenggara tersebut sejak Presiden Ferdinand Marcos Jr. meletakkannya sebagai perhatian dalam ucapan pada Julai lalu selepas banjir berminggu-minggu.
Isnin lalu, Marcos berkata, beliau tidak menyalahkan orang ramai kerana ‘sedikit’ membantah, sambil menggesa agar demonstrasi dilakukan secara aman. Tentera bagaimanapun diletakkan dalam ‘amaran merah’ sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jika kerajaan mempunyai bajet untuk projek hantu, kenapa tiada bajet untuk sektor kesihatan?” kata seorang pelajar kejururawatan berusia 23 tahun, Aly Villahermosa.
Dianggarkan seramai 13,000 orang berkumpul pagi ini di Luneta Park di ibu negara, Manila.
Lebih ramai orang dijangka berkumpul kemudian untuk berarak menyusuri jalan dikenali sebagai EDSA. Ia merupakan tapak protes Pergerakan Kuasa Rakyat yang membantu menggulingkan pemerintah diktator iaitu bapa Marcos daripada kuasa pada 1986.
Skandal kawalan banjir telah mencetuskan perubahan kepimpinan dalam kedua-dua dewan Kongres, dengan Speaker Dewan, Martin Romualdez mengemukakan peletakan jawatannya awal minggu ini ketika siasatan sedang dijalankan.
Awal bulan ini, pemilik firma pembinaan menuduh hampir 30 ahli Dewan Rakyat serta pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH) mengambil bayaran daripada projek tersebut.
Jabatan Kewangan menganggarkan bahawa ekonomi Filipina kerugian sehingga 118.5 bilion peso (RM8.7 bilion) dari 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir. – AFP