PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Muhammad Noor Zakaria atau dikenali sebagai Madnor menasihatkan golongan muda agar tidak menunggu terlalu lama untuk berkahwin hanya kerana belum mencapai tahap kewangan yang diimpikan.
Menerusi satu hantaran video di TikTok, Madnor berkata, perbuatan menangguhkan perkahwinan sehingga kononnya sudah kaya hanya akan menyebabkan seseorang itu ‘menua’ sebelum sempat membina keluarga.
Menurutnya, ramai anak muda hari ini gemar membandingkan pasangan mereka dengan individu lain yang sudah stabil dan berjaya dalam kerjaya walaupun usia masih muda.
“Jangan tunggu kaya baru kahwin, tualah kau nanti. Teman lelaki kau baru 25 tahun, macam mana kau nak anggap dia boleh kaya? Lambat lagi,” katanya.
Madnor berkata, pasangan yang mahu berkahwin tidak perlu menunggu segalanya lengkap kerana rumah tangga yang dibina bersama dari bawah mempunyai kemanisan tersendiri.
Katanya, apa yang penting adalah seseorang individu itu mempunyai kesediaan untuk memikul tanggungjawab dan rajin berusaha demi keluarga.
“Tak kaya tak apa, asalkan ada dua benda ini iaitu bersedia dan rajin. Kalau dah kahwin nanti, kehidupan memang tak sama macam dulu,” ujarnya.
Beliau berkata, alam perkahwinan merupakan satu fasa serius yang memerlukan pengorbanan daripada kedua-dua pihak termasuk masa, emosi dan komitmen.
“Yang lelaki pun bila dah bersedia, dia tahu dia tak boleh melepak lagi bila isteri mengandung atau bila dah ada anak,” katanya.
Madnor turut berkongsi pengalaman peribadi membina kehidupan bersama pasangan bermula dari bawah sebelum berjaya menikmati kesenangan hasil usaha bersama.
“Dulu mula ‘from scratch’, rumah buruk pun ada kemanisan dia. Barulah ada cerita nak dikenang nanti,” katanya.- KOSMO! ONLINE
@dodosentoso2 ni kalau belum ada dalam diri boleh pospone dulu kawen tu eh adik adik gen z kesayangan abg mdno sekalian. jgn kawen lagi abg mdno hanger ko kang♬ original sound – Muhammad Noor bin Zakaria














