ISKANDAR PUTERI – Seramai 35 lelaki warga China diberkas selepas disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian dipercayai beroperasi sebagai ‘calling centre’ menerusi serbuan di sebuah rumah banglo di kawasan perumahan Gelang Patah, di sini minggu lalu.
Serbuan kira-kira pukul 11.50 malam, 14 Mei lalu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Iskandar Puteri dengan kerjasama Balai Polis Tanjung Kupang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, ketika serbuan dijalankan, kesemua ahli sindiket sedang bekerja dan berada di hadapan komputer di ruang tamu rumah berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai bertindak sebagai ejen bagi mencari pelanggan serta menawarkan pekerjaan tidak wujud secara atas talian dengan menyasarkan mangsa dari negara Sepanyol.
“Mereka menggunakan aplikasi Telegram untuk berkomunikasi dengan mangsa dengan menawarkan pelbagai pakej pekerjaan termasuk menawarkan pakej bilik hotel.
“Mangsa-mangsa akan ditawarkan dengan komisen yang lumayan, sekiranya mangsa nak tebus atau nak dapatkan komisen lebih banyak, mereka kena masukkan sejumlah wang ke akaun sindiket sebelum sindiket menghilangkan diri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Kumarasan berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan selain siasatan awal mendapati sindiket sudah beroperasi sejak Februari lalu.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dengan nilai anggaran keseluruhan RM65,000 antaranya 35 unit telefon bimbit, 10 unit komputer riba, 35 unit komputer dan 12 unit modem.
Siasatan awal turut mendapati seramai 33 suspek mengaku bekerja sebagai ejen mencari pelanggan menggunakan aplikasi Telegram sebelum menawarkan pekerjaan palsu kepada mangsa.
“Mereka dipercayai menerima gaji sekitar RM4,000 sebulan, manakala dua lagi suspek berperanan sebagai tukang masak dengan bayaran RM3,500 sebulan,”katanya.
Tambah beliau, hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
“Polis sedang memburu seorang warga tempatan yang dikenali sebagai Muhammad Ling Mohd Adam Ling, 25, yang disyaki menjadi orang tengah kepada ahli sindiket dan dalang sindiket berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE













