PETALING JAYA – The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) mengesahkan, semua aktivis flotila yang ditahan secara tidak sah telah dibebaskan daripada Penjara Ktziot serta sedang melalui proses pengusiran.
Adalah menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima pemakluman tersebut daripada Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dan pihak berkuasa negara berhubung pembebasan semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Semua aktivis GSF dan FFC yang ditahan telah dibebaskan daripada Penjara Ktziot dan kini sedang dalam perjalanan untuk dihantar pulang,” kata Adalah hari ini.
Dalam pada itu, Adalah menegaskan, keseluruhan operasi bermula daripada pemintasan haram di perairan antarabangsa sehingga kepada penyeksaan, penghinaan, dan penahanan terhadap aktivis aman merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Majoriti peserta kini sedang dipindahkan ke Lapangan Terbang Ramon untuk diterbangkan keluar dari negara itu.
“Pasukan guaman Adalah sedang memantau secara aktif proses pemindahan tersebut bagi memastikan semua aktivis dihantar pulang dengan selamat dan sepenuhnya tanpa sebarang kelewatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














