MANILA – Beberapa das tembakan menyebabkan senator-senator Filipina bersembunyi di pejabat masing-masing lewat semalam, kata wartawan AFP ketika seorang wakil rakyat yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berlindung di dalam bangunan Dewan Senat.
Tiada kemalangan jiwa berlaku, manakala operasi memburu lelaki-lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan sedang dilakukan, kata Setiausaha Dalam Negeri Juanito Victor Remulla.
Menurutnya, orang yang dikehendaki, Senator Ronald Dela Rosa juga kekal di dalam bangunan itu.
Wartawan AFP di Senat berkata, mereka mendengar sekurang-kurangnya lima das tembakan dilepaskan.
Seorang wartawan televisyen dilihat menangis ketika dia melaporkan secara langsung dari lokasi kejadian, manakala seorang senator, Robin Padilla meminta wartawan untuk beredar.
Situasi dramatik berlaku ketika Dela Rosa yang merupakan bekas penguatkuasa utama bekas presiden Rodrigo Duterte, berkurung di kompleks Senat untuk mengelak daripada ditangkap dan diekstradisi ke Belanda atas dakwaan jenayah kemanusiaan.
Remulla berkata, Dela Rosa selamat. Dia berada bersama kakitangan keselamatan. Dia telah dimaklumkan tentang aktiviti kami. Kami telah memberi jaminan kepadanya bahawa tiada waran tangkap akan diserahkan.
Presiden Ferdinand Marcos berkata, pasukan keselamatan di dalam dan sekitar kompleks Senat tidak melepaskan tembakan.
Beliau berkata, ejen- ejen yang cuba menangkap Dela Rosa telah diarahkan untuk berundur selepas Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan menjelaskan tindakan tersebut semalam.
“Perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah memberitahu rakyat supaya bertenang dan kita akan menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi. Kita akan mengenal pasti siapa di sebalik kekacauan ini,” kata Marcos dalam satu ucapan di kaca televisyen.
Dela Rosa sebelum ini meminta Mahkamah Agung menghalang pihak berkuasa daripada menangkap dan menyerahkannya kepada ICC.
Dela Rosa berkhidmat sebagai ketua polis Filipina dari 2016 hingga 2018 semasa fasa awal kempen anti dadah Duterte.
Tindakan keras Duterte dalam memerangi dadah menyaksikan beribu-ribu orang maut, Kebanyakan mereka adalah penagih dan pengedar narkotik kecil-kecilan, demikian menurut beberapa badan pemerhati hak asasi manusia.
Duterte ditangkap pada Mac tahun lalu, diterbangkan ke Belanda pada hari yang sama, dan ditahan di The Hague sementara menunggu perbicaraan. – AFP














