fbpx
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Seberang Perai Utara, 19 Mei lalu.

Sindiket dadah vape ‘piau-piau’ masuk jerat polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket penjualan dan pengedaran dadah sintetik jenis vape atau rokok elektronik yang dikenali sebagai ‘piau-piau’ dalam dua serbuan di Seberang Perai Utara (SPU) di sini, 19 Mei lalu.

Operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi hingga 6 petang turut menahan pasangan lelaki dan wanita yang masing-masing berusia antara 36 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pasangan warga tempatan itu disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis vape, serbuk MDMA, ketamin dan pil erimin 5.

Menurutnya, penahanan suspek lelaki dilakukan di kawasan parkir kenderaan sebuah kediaman lalu menemukan sejumlah dadah.

“Penahanan suspek lelaki terbabit telah membawa kepada tangkapan suspek wanita di sebuah kediaman di lokasi sama sekali gus merampas 123 katrij disyaki mengandungi dadah jenis cecair syabu termasuk MDMA, ketamin dan pil erimin 5 serta lima alat peranti elektronik.

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM88,725.50. Turut disita adalah buah kereta jenis Toyota Altis dan Toyota Estima serta wang tunai berjumlah RM1,069 dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM199, 794.50,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket terbabit telah bergiat aktif sejak Mac lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 300 penggunaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya tangkapan pertama positif dadah jenis Methamphetamine manakala kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN