PETALING JAYA – Tindakan peniaga dipercayai warga asing mendirikan kedai di bawah tiang lampu dan rizab jalan di Taman Sri Sinar Segambut, mengundang persoalan dalam kalangan pengguna di laman sosial.
Ini kerana kata pengguna, kedai tersebut sudah beroperasi lebih daripada tiga tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
Berdasarkan perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Housekeeping2347 berkata, penduduk sekitar taman itu sudah membuat aduan kepada pihak berkuasa sebelum ini.
“Warga Threads saya perlukan pertolongan anda sekali lagi, DBKL kata kedai haram ini tiada lesen dan kes ini telah pending (belum selesai). Dah hampir 3 tahun penduduk buat aduan masih tak kena roboh.
“Mereka (peniaga) oacak kedai bawah tiang lampu, @hannahyeoh @kelab_sukan_dbkl. Berniaga 24jam setiap malam sangat banyak bising. Saya mahu (kedai) ini dirobohkan, lokasi Taman Sri Sinar Segambut,”tulis individu itu.
Difahamkan kedai tersebut milik penduduk tempatan tetapi telah disewakan kepada warga asing.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi masalah sama di kawasan mereka.
“Di bandar baru Sentul depan Sky Meridien tiang letrik banyak dalam kedai, TNB dan DBKL buat tak nampak je, bertahun dah,”dakwa Zeen_Muhd.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Amyshenny_y_i.
“Masuk laporan rasmi di DBKL2U,”katanya. – KOSMO! ONLINE














