PETALING JAYA – Polis akan memanggil bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran berhubung isu titah dan Rukun Negara yang dimuat naik di Facebook.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima 28 laporan di seluruh negara dan membuka kertas siasatan terhadap Tony.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima laporan polis dari seluruh negara. Pihak polis akan memanggil Tony dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor.
Saranan itu bertujuan untuk memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara dan menghormati kedaulatan institusi diraja.
Tony dalam hantaran di Faceboook berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, namun kuasa Raja adalah terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam serta peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Ya, saya Setia kepada Raja dan Negara, serta akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang yang berasaskan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Bukan dekri atau titah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














