fbpx
HAKIM masih tidak berputus asa dan menyasarkan kedudukan podium pertama dalam dua perlumbaan di Misano hujung minggu ini.

Hakim Danish buru P1 di Misano

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA sensasi remaja negara, Hakim Danish Ramli kini menggalas misi besar menjelang pusingan penutup Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Litar Misano, Itali hujung minggu ini dengan membawa impian bergelar juara keseluruhan.

Berbaki dua perlumbaan terakhir di Misano, Hakim, 18, bergelar juara tidak mudah apabila dia kini di kedudukan ketiga dengan 165 mata, di belakang pendahulu, Angel Piqueras Uriarte dari Sepanyol (191 mata) dan Veda Ega Pratama (Indonesia) di tempat kedua dengan 170 mata.

Anak jati Terengganu itu menegaskan, semangatnya langsung tidak padam sambil menyatakan hanya satu perkara berada dalam fikirannya iaitu mencipta kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan di Misano.

“Dalam kepala cuma ada satu iaitu P1 dan P1 (tempat pertama). Saya dah buat persiapan terbaik sebelum ke Misano. Di Malaysia, saya fokus latihan motosikal, gimnasium, larian dan berbasikal.

“Saya dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan saya akan beri yang terbaik dalam dua perlumbaan terakhir ini,” katanya.

Hakim berpeluang mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai RBMRC yang menjadi antara pentas pembangunan berprestij dalam kancah perlumbaan motosikal dunia.

Jika berjaya muncul juara keseluruhan, dia dijangka dinaikkan pangkat ke kelas Moto3 secara merit dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

“Peluang masih ada biarpun saya di kedudukan ketiga. Saya akan cuba sedaya upaya. Ini adalah misi paling penting dalam karier saya setakat ini,” tegas Hakim.

Sepanjang 2025, Hakim tampil konsisten dengan beberapa keputusan podium mengukuhkan kedudukannya sebagai pencabar utama kejuaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN