KUALA LUMPUR – Pendatang baharu Liga Super, Melaka FC mengambil pendekatan untuk menjaga ‘duit poket’ dengan menggunakan khidmat lima pemain import sahaja pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 kali ini.
Pengendali Melaka FC, K. Devan berkata, tonggak import dari Brazil, Korea Selatan dan Nigeria tidak pernah bermain di tanah air sekali gus menjadi bakat baharu untuk disaksikan peminat bola sepak tempatan berbanding menggunakan pemain ‘kitar semula’.
Menurut Devan, semua pemain tersebut belum didedahkan lagi kerana masih dalam sesi ujian dan diharap dapat cepat menyesuaikan diri dengan pasukan.
“Kita telah memulakan sesi latihan pramusim sejak bulan lalu. Pasukan dibarisi 20 pemain tempatan selain lima import dari Brazil, Korea dan Nigeria juga telah tiba. Mungkin jika ada bajet lebih, kita akan tambah satu atau dua lagi import.
“Kita pasukan yang tiada bajet besar, jadi saya rasa pasukan ini tidak mempunyai nama-nama besar tetapi pemain-pemain ini ada pengalaman beraksi di Liga Super. Dengan tambahan import dan pemain berpengalaman, ia akan mengimbangi kekuatan pasukan.
“Kita juga ada dua pemain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu penjaga gol, Haziq Aiman dan Aiman Danish (Abdul Azim) yang kita dapatkan secara pinjaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Devan mengakui pihak pengurusan tidak meletakkan sasaran spesifik bagi saingan Liga Super musim ini tetapi barisan kejurulatihan berazam mahu menamatkan kempen di kelompok pertengahan.
“Ini tahun pertama kita di Liga Super, kalau boleh kita tidak mahu duduk di kedudukan bawah sekali, mungkin dalam pertengahan,” ujarnya.
Sebagai rekod, Melaka FC berjaya beraksi di Liga Super musim baharu selepas muncul juara Liga A1 Semi Pro musim 2024/2025. – KOSMO! ONLINE