fbpx
MUKHAIRI (kanan) meledak hatrik ketika Selangor menewaskan PDRM pada aksi terakhir Liga Super musim ini kelmarin. - FB SELANGOR FC

Liga Super: Selangor enggan ratapi kegagalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA apa yang harus diratapi Selangor FC walaupun terpaksa akur tidak mampu untuk menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua hingga terpaksa melupakan slot ke Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) musim depan.

Pengendali pasukan, Kim Pan-gon yang mula melatih pasukan, Januari lalu percaya keputusan diraih termasuk layak ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) sudah membuktikan Gergasi Merah memiliki asas kukuh untuk jadi lebih baik pada saingan akan datang.

“Bagi pihak pasukan, saya minta maaf kepada penyokong kerana tidak mampu berikan keputusan baik musim ini. Selepas saya datang ke sini, kami cuba bina cara, karakter dan identiti Selangor FC dan saya fikir ada kemajuan baik ditunjukkan.

“Saya fikir kita dapat melihat karakter pasukan yang bermain bola sepak secara menyerang, mendominasi permainan, menjaringkan banyak gol dan tidak melepaskan gol dengan mudah. Kami layak ke final ACC dan itu membuktikan yang kami ada harapan serta masa depan.

“Kami akan terus melihat ke depan. Kami akan kekalkan budaya pasukan dan kami akan teruskannya sebagai satu keluarga,” katanya.

Pada aksi terakhir kelmarin, Selangor menang 6-0 ke atas PDRM FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin, namun tidak memberikan makna apabola kurang satu mata berbanding Kuching City yang menamatkan saingan dengan 53 mata.

Pada perlawanan kelmarin, Mukhairi Ajmal membalas kepercayaan Pan-gon apabila merakam hatrik diikuti dua gol daripada Alvin Fortes dan satu jaringan menerusi Aliff Izwan.

“Pada perlawanan ini, saya beri tanggungjawab kepada pemain untuk bina momentum sebelum perlawanan akhir. Saya gembira melihat reaksi mereka kerana bukan senang untuk menjaringkan enam gol,” jelas Pan-gon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN