fbpx
AMINUDDIN Harun dalam sidang media pengumuman khas di kediaman rasmi beliau, di Seremban malam ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL /KOSMO!

[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini. selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembubaran DUN dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 selepas beliau memperoleh perkenan baginda.

“Saya telah mengikut peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Saya mendapat perkenan dan mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, itu sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pengumuman khas di kediaman rasmi beliau, di Seremban malam tadi.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memaklumkan pembubaran DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seterusnya akan menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

“Selepas ini pilihan raya, kita akan hantar notis kepada SPR dan kita serahkan kepada SPR menentukan tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi,” katanya.

Mengulas keputusan membubarkan DUN, Aminuddin berkata langkah itu diambil bagi mendapatkan mandat baharu rakyat susulan kemelut politik yang berlaku kebelakangan ini.

“Kita lihat kemelut yang berlaku kerana ada pihak yang pada mulanya menyokong kemudian menarik sokongan daripada kerajaan.

“Kita rasa perlu untuk mengadakan mandat baharu daripada rakyat. Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan hampir dimuktamadkan.

Katanya, PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN negeri itu dan keputusan akhir pembahagian kerusi dijangka dimuktamadkan minggu depan.

“Alhamdulillah, pembahagian kerusi selesai dan Insya-Allah akan dimuktamadkan minggu depan. Amanah setuju, DAP setuju dan Keadilan menyokong,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN