PASUKAN Selangor FC menerima tamparan hebat ketika tirai musim baru berakhir selepas dikhabarkan kehilangan dua ‘aset’ berharga, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi pada saingan musim depan.
Spekulasi mula tercetus dalam kalangan peminat setia Gergasi Merah selepas kedua-dua pemain import Jordan memuat naik mesej dengan nada perpisahan di Instagram ketika sedang melakukan persiapan bersama skuad kebangsaan bagi kempen Piala Dunia 2026.
Al-Rawabdeh meluahkan penghargaan penuh emosi kepada kelab, rakan sepasukan dan penyokong selepas mengharungi tiga musim bersama pasukan Gergasi Merah sejak 2023.
“Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan bersama Selangor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berkembang sebagai pemain dan individu.
“Kepada semua rakan sepasukan serta staf di belakang tabir, saya sentiasa menghargai memori, pengalaman dan detik yang kita lalui bersama.
“Dan kepada penyokong hebat yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan ini, semangat serta kasih sayang anda terhadap kelab akan sentiasa kekal bersama saya.
“Ke mana sahaja bola sepak membawa saya selepas ini, sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berada di sini,” katanya.
Sementara itu, Abualnadi yang menyertai Selangor dua tahun lalu turut memuat naik ucapan ringkas yang menguatkan lagi spekulasi perpindahan mereka.
“Terima kasih Selangor FC untuk dua tahun yang indah. Alhamdulillah,” katanya.
Al-Rawabdeh dianggap sebagai salah seorang tampil cemerlang sepanjang bersama Selangor dengan merekodkan 84 penampilan manakala Abualnadi pula beraksi sebanyak 53 kali.
Pelaburan Selangor untuk mendapatkan khidmat mereka juga berbaloi apabila bakal menerima pampasan daripada FIFA kira-kira RM1 juta hingga RM2 juta selepas kedua-dua pemain ini dipanggil untuk menyertai skuad Jordan pada kempen Piala Dunia nanti.














