PETALING JAYA – Kes serangan terhadap pencipta kandungan YouTube dan pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria atau Joe Zakaria (YTSK), di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini, Sabtu lalu akan disiasat dari semua sudut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan meliputi penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) selain merakam percakapan saksi yang boleh membantu siasatan.
“Kita akan siasat dari semua sudut termasuk meneliti rakaman CCTV dan dashcam, merakam percakapan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan. Motif juga masih di dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan cedera selepas disyaki dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 malam itu, mangsa dikatakan sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
Pencipta kandungan YouTube dan pengkritik bola sepak tempatan itu diserang dua lelaki tidak dikenali di stesen minyak berkenaan.
Berdasarkan laporan polis, mangsa ditendang pada muka sebelum dipukul berulang kali menggunakan tangan dan kaki.
Seorang daripada penyerang kemudian merakam mangsa menggunakan telefon bimbit sambil berkata, “ini orang curi”, sebelum kedua-duanya melarikan diri dengan motosikal.
Azizurrahman mengalami kecederaan pada muka, tangan dan kaki serta patah tulang pada bahagian rongga mata kanan.
Motif serangan masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan komentar atau kandungannya mengenai bola sepak tempatan. – KOSMO! ONLINE















