fbpx
Musa dan Hannah.

Musa Hassan kekal bayar RM250,000 kepada Hannah Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kekal perlu membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung saman fitnah.

Ia berikutan apabila panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang hari ini secara sebulat suara menolak permohonan Musa untuk mendapatlan kebenaran merayu berhubung saman itu.

Dalam kes sivil, mana-mana pihak terkesan yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran sebelum berbuat demikian.

Semasa prosiding, panel terbabit memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi ambang keperluan yang ditetapkan (threshold requirement) di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Pada pandangan kami, persoalan yang dibangkitkan tidak mencapai tahap sebagai persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam,” kata Hakim Rhodzariah yang turut memerintahkan Musa selaku pemohon untuk membayar kos sebanyak RM50,000.

Dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin.

Dalam prosiding hari ini, peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz bertindak mewakili Musa, manakala Hannah diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.

Terdahulu permohonan itu difailkan Musa bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi kepada Hannah berhubung kenyataan fitnah yang dibuat di sebuah forum di sebuah universiti.

Pada 13 Januari lalu, Hannah yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berjaya dalam rayuannya saman fitnah terhadap Musa berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar (yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas membenarkan rayuan Hannah selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Sebelum ini Hannah memfailkan rayuan pada 26 Disember 2024 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember tahun sama menolak saman fitnahnya terhadap Musa.

Menerusi saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.

Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey. untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia, dan meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN