KUALA LUMPUR – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus menjadi pilihan industri apabila merekodkan kadar kebolehpasaran mencecah 98.7 peratus.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen kementerian dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran semasa.
Menurutnya, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula mencatatkan kadar kebolehpasaran lebih tinggi iaitu 99.5 peratus.
Katanya, pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan konsep Teaching Factory dan Work-Based Learning yang memberi pendedahan kepada pelatih terhadap operasi sebenar industri.
“Pendekatan ini membolehkan pelatih menggunakan peralatan berteknologi tinggi serta menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan sebenar sebelum menamatkan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan lisan Datuk Haji Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai hala tuju KKDW memastikan program TVET sentiasa selaras dengan keperluan industri masa hadapan.
Tambahnya, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, KKDW turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat yang mampu menjadi teknousahawan dan pencipta peluang pekerjaan.- KOSMO! ONLINE















