fbpx
Azalina

Pelantikan pendakwa raya bebas nasihat PM antara 7 pindaan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tujuh pindaan utama dicadangkan menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam usaha memperkukuh kebebasan sistem pendakwaan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara cadangan paling signifikan ialah Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), tanpa melibatkan nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Menurutnya, proses pelantikan itu turut diperkasakan menerusi penglibatan Parlimen apabila nama calon Pendakwa Raya perlu dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan ulasan dikemukakan kepada SPKP sebelum pelantikan dibuat.

Selain itu, katanya, tempoh jawatan Pendakwa Raya ditetapkan selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi menjamin kebebasan serta mengelakkan pengaruh luar terhadap institusi berkenaan.

“Pendakwa Raya juga diwajibkan mengemukakan laporan tahunan meliputi pentadbiran, pengurusan dan kedudukan kewangan pejabatnya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibentangkan di kedua-dua Majlis Parlimen,” katanya ketika membentangkan Penyata JKPK di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut mencadangkan penggubalan Kod Etika khusus untuk Pendakwa Raya, dengan pelanggaran kod tersebut boleh dijadikan antara alasan sah untuk tindakan terhadap penyandang jawatan berkenaan.

Menurutnya, keseluruhan syor tersebut merupakan hasil penelitian tujuh mesyuarat JKPK serta sesi libat urus bersama Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, Suhakam, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan reformasi itu dilaksanakan secara menyeluruh.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas selepas bacaan kali pertama bagi membolehkan penelitian serta penambahbaikan dibuat sebelum dibentangkan semula di Dewan Rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN