SEGAMAT – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Hospital Segamat di sini akan ditutup mulai 1 Julai ini.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohd Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang keputusan untuk menutup fasiliti kesihatan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum penyebaran maklumat berkaitan surat penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas yang bertarikh 3 Jun lalu sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“JKNJ ingin menegaskan bahawa Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan tiada penutupan hospital sebagaimana yang didakwa.
“Pada masa ini, JKNJ sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berterusan kepada masyarakat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mokhtar berkata, status terkini serta perancangan lanjut berhubung perkara tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.














