KARAKTER pemain yang sentiasa menyerlahkan semangat juang menjadi faktor utama menyumbang pencapaian luar biasa Kuching City hingga mampu mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara 2 (ACL 2), musim depan.
Pada aksi di Stadium Negeri, kelmarin, The Cats memastikan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur City sekali gis mengecewakan pencabar terdekatnya, Selangor FC yang terlepas untuk ke pertandingan Asia tersebut.
Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, kejayaan ini tidak hanya berkisar perancangan dibuat oleh jurulatih sebaliknya ia terhasil menerusi sikap tidak berputus asa pemain.
“Saya gembira dengan prestasi dan sikap pemain di mana kami sebenarnya mengharungi detik turun naik. Seperti saya katakan kepada pemain, aksi liga ini adalah seperti berlari maraton bukannya acara pecut 100 meter.
“Setiap kali kami tidak berada pada tahap terbaik, pemain bangkit dan inilah karakter yang menjadi perkara penting. Kami mencapai rekod yang tidak pernah diraih sebelum ini, layak ke ACL 2, berada di tangga kedua Liga Super dan layak ke final Piala Malaysia,” katanya.
Bintang import, Jerome Etame muncul wira pasukan dan Aidil juga turut menghamburkan pujian kepada penyokong yang terus bersama pasukan sepanjang musim ini.
“Bukan tugas mudah kerana KL City adalah pasukan yang bagus, tekanan juga sentiasa ada, namun kami tahu apa yang kami mahukan pada perlawanan kali ini.
“Di babak pertama kami capai apa yang dimahukan iaitu mendapatkan jaringan. Babak kedua juga agak bagus dimana kami ada beberapa peluang namun saya percaya pemain sudah berikan yang terbaik,” katanya.














