KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB) menyasarkan baki akhir pembiayaan mencecah RM50 bilion menjelang tahun 2026, selari dengan pelan strategik bank itu yang diumumkan secara rasmi baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, sasaran itu mengambil kira pertumbuhan berterusan dalam permintaan pembiayaan serta penyusunan semula portfolio pinjaman sedia ada.
“Setakat Disember 2024, jumlah buku pinjaman bersih MBSB dianggarkan sekitar RM43 bilion, selepas mengambil kira pelarasan dan penghapusan (write-off) daripada jumlah keseluruhan RM43.7 bilion yang dicatatkan tahun lalu.
“Kami optimis dapat mencapai sasaran RM50 bilion menjelang 2026 disokong oleh pengenalan produk produk baharu dalam sektor komersial dan konsumer yang lebih menyeluruh dan berkualiti,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MBSB ke-55, di sini hari ini.
Menurutnya, MBSB turut mencatat kemajuan memberangsangkan dalam pelan transformasi tiga tahun, FLIGHT26 apabila 30 daripada 38 program serta 24 daripada 27 inisiatif pasca penggabungan dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) berjaya dilaksanakan setakat ini. – KOSMO! ONLINE