PETALING JAYA – Ramai yang menganggap tabiat kuat berdengkur sebagai perkara biasa atau sekadar tanda seseorang itu tidur dengan nyenyak, namun Public Health Malaysia (PHM) mendedahkan bahawa ia mungkin amaran awal kepada gangguan kesihatan yang lebih serius iaitu Obstructive Sleep Apnea (OSA).
PHM menerusi satu perkongsian di Facebook berkata, apabila berlaku kemalangan akibat mengantuk atau kes kematian mengejut ketika tidur, masyarakat sering menuding jari kepada faktor keadaan jalan, tekanan kerja atau serangan jantung, sedangkan isu OSA ini masih lagi dipandang remeh.
Menurut PHM, OSA bukan sekadar isu berdengkur biasa, sebaliknya ia merupakan satu keadaan saluran pernafasan tersumbat berulang kali ketika seseorang itu sedang tidur.
“Nafas terhenti seketika, kadar oksigen jatuh, dan otak akan terjaga tanpa kita sedari sebelum kemudiannya tidur bersambung semula.
“Malam nampak seperti sedang tidur nyenyak, tetapi sebenarnya badan sedang bertarung,” katanya.
Jelas PHM lagi, impak daripada gangguan tidur ini menyebabkan seseorang itu tetap berasa letih walaupun sudah tidur dalam tempoh yang lama.
Antara kesan nyata yang boleh dilihat adalah kecenderungan untuk mudah mengantuk ketika memandu, tertidur di hadapan televisyen, dalam mesyuarat atau ketika sedang menunggu lampu isyarat merah.
Lebih membimbangkan, masalah OSA ini juga mempunyai kaitan rapat dengan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, sakit kepala pada waktu pagi, mudah marah, serta kesukaran untuk memberikan fokus, namun jarang sekali pesakit mengaitkan gejala tersebut dengan kualiti tidur mereka.
PHM turut memperbetulkan tanggapan lapuk masyarakat bahawa OSA hanya berlaku kepada individu yang mengalami masalah obesiti melampau.
“Memang berat badan berlebihan meningkatkan risiko, tetapi orang yang ‘gemuk sikit’, berleher besar, rahang kecil, tonsil besar, hidung tersumbat kronik atau mempunyai struktur saluran nafas yang sempit juga boleh mengalaminya,” jelas PHM.
Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan keadaan melarat sehingga pasangan mula menegur tentang gejala terhenti nafas ketika tidur, atau sehingga tekanan darah menjadi semakin sukar dikawal.
“Jika anda berdengkur kuat, sering tersedak ketika tidur, pasangan pernah nampak anda berhenti bernafas, bangun pagi dengan sakit kepala, atau mengantuk teruk pada siang hari, itu bukan sekadar penat kerja. Itu tanda yang patut disaring,” katanya.
Bagaimanapun, PHM menegaskan bahawa penyakit OSA ini boleh dirawat melalui perubahan gaya hidup, alat bantuan pernafasan waktu tidur dan rawatan ENT tertentu bagi membantu mengurangkan risiko. – KOSMO! ONLINE














