fbpx
Razali pada sidang akhbar penganjuran Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026. FOTO:AFIQ RAZALI

PAPUH sasar RM5 juta di Muslim Travel Fair 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 menyasarkan nilai jualan RM5 juta sepanjang tiga hari penganjurannya yang bermula pada 31 Julai ini.

Karnival yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam itu bakal menghimpunkan lebih 100 syarikat dan organisasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej umrah, haji serta pelancongan mesra Muslim kepada pengunjung.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Razali Mohd. Sham berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi konsep penganjuran yang lebih dekat dengan masyarakat dalam mendapatkan maklumat, promosi serta khidmat konsultasi pelancongan secara lebih mudah dan santai.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan kehadiran antara 20,000 hingga 35,000 pengunjung berbanding kira-kira 10,000 pengunjung yang direkodkan pada dua penganjuran terdahulu di hotel.

“Sebelum ini, nilai jualan yang dicatatkan sekitar RM500,000, namun kali ini kita menyasarkan RM5 juta.

“Trend pelancongan masih tinggi dan kita mengetengahkan pelbagai segmen termasuk penginapan hotel dalam pelancongan Islam, bukan hanya tertumpu kepada umrah dan haji,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PAPUH di sini hari ini.

Razali yang juga Pengerusi karnival tersebut berkata, penganjuran di Kompleks PKNS menjadi permulaan kepada siri jelajah nasional PAPUH yang akan diteruskan ke Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, usaha itu bertujuan memperluaskan capaian industri pelancongan Islam kepada masyarakat di seluruh negara sekali gus memperkukuhkan ekosistem sektor berkenaan.

“Penganjuran karnival ini juga menjadi platform pendidikan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dan peka dalam memilih agensi pelancongan yang berlesen serta berdaftar.

“Langkah itu penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang semakin berleluasa,” katanya.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN