PETALING JAYA – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatat keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM826.5 juta naik sebanyak 10.1 peratus tahun ke tahun manakala hasil pula mencecah kepada RM2.47 bilion bagi tahun kewangan 31 Mac 2026 (FY2026).
Prestasi kewangan yang kukuh ini dipacu oleh momentum perniagaan yang berterusan, pertumbuhan pendapatan yang pelbagai serta pelaksanaan berterusan strategi Acceler8 dalam persekitaran global yang lebih mencabar.
Turut disokong oleh faktor pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).
NII adalah sebanyak RM2.01 bilion terutamanya dipacu oleh jumlah pinjaman yang lebih tinggi, sementara margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.34 peratus.
NOII meningkat 42 peratus YOY kepada RM459.2 juta.
Nisbah kos kepada pendapatan bagi tahun tersebut berada pada 47.9% kerana Bank terus melabur dalam tenaga kerja dan teknologi.
Mengulas mengenai keputusan kewangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kelle Kam berkata,
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam berkata, prestasi bank untuk FY2026 mencerminkan pelaksanaan berdisiplin strategi Acceler8 dan ketahanan model perniagaan yang pelbagai.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, kami memberi tumpuan untuk memanfaatkan asas kewangan kukuh bagi menyokong pelanggan, membantu perjalanan transformasi mereka, serta memberikan nilai jangka panjang yang bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang FY2026, jumlah pinjaman kasar bank berkembang sebanyak 7.5 peratus YOY, melebihi pertumbuhan industri sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh pengembangan menyeluruh merentasi segmen PKS, komersial dan pengguna.
Jumlah pinjaman kasar dan bon tidak ditaraf meningkat sembilan peratus YOY manakala pinjaman PKS meningkat 7.4 peratus YOY, pinjaman komersial berkembang 13.2 peratus, manakala pinjaman pengguna meningkat sembilan peratus YOY.
Deposit pelanggan meningkat 8.8 peratus, terutamanya disokong oleh pertumbuhan deposit tetap, sementara bank mengekalkan salah satu nisbah CASA tertinggi dalam industri pada 37.5 peratus.
Kualiti aset kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik kepada 1.73 peratus, berbanding 1.83 peratus setahun sebelumnya. -KOSMO! ONLINE














