fbpx
Tangkap layar video dashcam yang dimuat naik di Threads oleh Ainn.Qayden di Threads.

Ford Ranger Raptor dilarikan semasa sesi pandu uji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk menjual trak pikap jenis Ford Ranger Raptor miliknya bertukar cemas apabila kenderaan itu dilarikan dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Gemencheh, Negeri Sembilan semalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh pengguna Aiin.qayden, dua individu tersebut menghubungi bapa saudaranya bagi menyatakan hasrat untuk melakukan pandu uji sebelum membuat keputusan membeli kenderaan tersebut.

“Semasa sesi pandu uji dijalankan, pemilik kenderaan duduk di kerusi penumpang hadapan.

“Bagaimanapun, sebaik selesai, pemilik keluar dari kenderaan untuk urusan seterusnya namun suspek yang masih berada di dalamnya bertindak memecut Ford Ranger untuk dilarikan,” katanya.

Terkejut dengan tindakan dua individu tersebut, mangsa dan isteri serta seorang anak lelaki cuba mengejar suspek dengan menaiki kenderaan lain.

Mangsa dilaporkan berjaya memintas dan menyekat trak pikap tersebut, namun suspek memecut laju sehingga berlaku kemalangan sebelum melarikan diri.

Beberapa saksi kejadian dikatakan melihat trak pikap itu memasuki jalan utama Kampung Pondoi, Tampin, namun sehingga kini ia masih gagal ditemui meskipun laluan keluar telah disekat.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa geram dengan tindakan dua lelaki tersebut selain mengesyaki kejadian didalangi oleh sindiket curi kenderaan pacuan empat roda (4×4).

“Memang sindiket curi 4×4. Pernah terjadi dekat kawan saya, bagi kad pengenalan (MyKad) tapi semua IC palsu,” kata Maa.md.

“Memang sekarang ramai sasarkan kenderaan ini. Kena beringat kalau nak jual direct owner,” pesan Shopwithuk.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan tersebut diminta menghubungi pemiliknya menerusi talian 017-3669382 atau menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN