PETALING JAYA – Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila terpaksa mengelak besi dipercayai bingkai perancah yang tercampak dari sebuah lori ketika melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Kejadian yang dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.25 pagi dan tular di platform Threads sehingga meraih hampir 500,000 tontonan.
Menurut perkongsian @_Aiman.fakhry, ketika kejadian dia sedang bergegas menuju ke hospital kerana isterinya mengalami masalah jantung.
Berdasarkan rakaman, sebuah objek dipercayai besi perancah daripada sebuah lori di hadapan tiba-tiba tercampak ke belakang sebelum memasuki laluan kenderaan lain.
Pemandu kereta berkenaan bagaimanapun berjaya mengelak objek tersebut pada saat akhir sekali gus mengelakkan kemalangan yang mungkin membawa padah.
Lebih menarik perhatian, sebuah treler yang turut berada di belakang yang sempat mengelak besi terbabit dilihat mengambil tindakan pantas dengan mengejar lori tersebut.
Pemandu treler itu kemudiannya sebelum membunyikan hon dan memberi amaran kepada pemandunya mengenai keadaan muatan di bahagian belakang.
Susulan itu, lori berkenaan dilihat berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.
Kelihatan muatan besi yang dibawa dipercayai tidak ditutup menggunakan kanvas atau sistem pengikatan yang lengkap sebagaimana amalan keselamatan pengangkutan muatan di jalan raya.
“Gugur segala organ, terima kasih abang lori tolong tegur,” tulis pemilik video.
Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial melahirkan rasa syukur kerana tiada kecederaan berlaku selain memuji tindakan pemandu treler yang bertindak memberi amaran kepada lori berkenaan.
“Bro sangat berjaga-jaga dan dapat elak benda tu. Hasil banyak main permainan video masa kereta kecil-kecil dulu ni,” seloroh seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna berkata, kejadian seumpama itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa sekiranya muatan tidak diikat atau ditutup dengan sempurna.
“Kesalahan besar tu. Kena memang boleh arwah. Lori besi buruk nak angkut barang boleh, tapi tutup, ikat dan urus dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














