fbpx
Dzulkefly bersama petugas kesihatan jururawat pada Sambutan Hari Jururawat Peringkat KKM 2026 di Putrajaya, semalam.

Populasi warga emas, isu burnout, brain drain cabaran kesihatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Landskap kesihatan kini kian rencam dengan cabaran populasi warga emas, isu keletihan (burnout) serta penghijrahan bakat (brain drain).

Keadaan ini sekali gus turut memberi cabaran kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua pihak tidak harus berpijak di bumi nyata, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) tidak boleh lagi bersandarkan kepada pendekatan kosmetik atau penyelesaian sementara.

Menurutnya, atas nekad itu, KKM mengorak langkah proaktif meluncurkan Pelan Strategik Kejururawatan 2026-2036 yang mengandungi 21 strategi dan 62 inisiatif.

“Pelan komprehensif ini dirangka khusus untuk memperkukuh ekosistem kejururawatan negara, merangkumi aspek penambahbaikan kebajikan petugas, perluasan autonomi klinikal, serta pemerkasaan kepimpinan di peringkat tertinggi demi melahirkan barisan jururawat yang dinamik.

“Pengorbanan saban hari rakan-rakan jururawat wajib dihargai melalui reformasi struktur yang menyeluruh dan berpandangan jauh,” katanya pada hantaran Facebook, hari ini.

Dzulkefly berkata, beliau merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat KKM 2026 di Putrajaya, semalam serta menzahirkan penghargaan mendalam buat hampir 125,000 jururawat seluruh negara yang merupakan nadi utama sistem kesihatan negara.

“Tugasan murni kalian adalah terjemahan khidmat sejati from womb to tomb (dari kelahiran hingga ke penghujung usia), sentiasa setia menghulurkan sentuhan ihsan dan ketenangan buat pesakit tanpa mengira lelah.

“Selamat Hari Jururawat Sedunia buat semua wira dan wirawati negara. Jasa kalian sesungguhnya tidak ternilai.

“Ayuh kita rapatkan saf, menyuburkan budaya kerja cemerlang dan terus memartabatkan profesion suci ini agar KKM kekal berdiri teguh sebagai sebuah institusi yang mampan, berwibawa dan memelihara maruah seluruh rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN