SHAH ALAM – Perjalanan pulang seorang wanita bertukar detik ngeri apabila dia dipeluk, dicium dan diraba seorang lelaki dalam serangan mengejut di lorong sebuah taman perumahan di Setia Alam di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.10 petang itu berlaku ketika mangsa berusia lingkungan 20-an berjalan kaki bersendirian menuju ke rumahnya selepas pulang dari tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita itu pukul 9.06 malam tadi dengan siasatan awal mendapati mangsa diserang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang lelaki berbaju merah dan berseluar hitam.
“Suspek kemudiannya memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan merabanya. Lelaki itu kemudian melarikan diri. Tiada kerugian dialami mangsa,” katanya hari ini.
Justeru katanya, Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE














