PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 kepada 40,099 pelajar baharu peringkat diploma yang melanjutkan pengajian di universiti awam (UA) dan politeknik bagi sesi kemasukan Jun 2026.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM60.1 juta bagi membantu pelajar menampung sebahagian kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian tinggi.
Menurut PTPTN, kemudahan itu disediakan khusus kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP ketika membuat permohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Pemberian WPP PTPTN ini bertujuan membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu yang bakal memasuki UA dan politeknik,” katanya.
Dalam satu sesi ziarah yang berlangsung di kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini, Norliza turut menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak.
Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 sehingga 30 April lalu, seramai 999,838 pelajar menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.48 bilion.
Pelajar yang layak boleh membuat semakan tawaran WPP menerusi aplikasi myPTPTN dan menunaikan wang tersebut di mana-mana kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara bermula hari ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad.
Tempoh sah laku tawaran adalah selama dua bulan iaitu sehingga 9 Ogos depan.
Pada masa sama, PTPTN mengingatkan pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN supaya mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh yang ditetapkan oleh institusi masing-masing bagi memastikan proses kelulusan dapat dilaksanakan dengan lancar.
PTPTN turut memaklumkan bahawa pemohon pinjaman perlu mempunyai akaun Simpan SSPN yang boleh dibuka menerusi aplikasi myPTPTN. – KOSMO! ONLINE














