PETALING JAYA – Dalam usaha memperkasa budaya menabung melalui produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Kempen Cabutan Prime Bonanza yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM500,000 untuk 106 pemenang.
Kempen tersebut terbahagi kepada dua kategori cabutan untuk disertai oleh pendeposit Simpan SSPN Prime iaitu kategori Platinum dan kategori Gold, dengan tempoh promosi bermula hari ini hingga 31 Oktober 2026.
PTPTN berkata, kategori Platinum menyediakan hadiah utama kereta Jaecoo J7 2WD PHEV untuk seorang pemenang, menakala kategori Gold menawarkan Proton X50 Flagship.
“Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen, dengan setiap simpanan bersih RM100 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat 10 cabutan.
“Menariknya, pengguna yang membuat simpanan melalui myPTPTN atau potongan gaji atau debit terus akan mendapat cabutan berganda sebanyak 20 cabutan,” katanya dalam kenyataan.
Pendeposit perlu memastikan akaun kekal aktif dan tidak boleh membuat pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 November 2026 sehingga 31 Januari 2027 daripada mana-mana akaun yang didepositkan dalam tempoh kempen.
Antara kelebihan Simpan SSPN ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah. – KOSMO! ONLINE















