JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Jawa Tengah, Indonesia ditahan selepas membunuh ibu mentuanya dengan memberikan sate ayam yang disaluti racun tikus, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Purwadi Wahyudi, 40, memesan sate ayam dan mencelupkan makanan itu ke dalam racun tikus sebelum dihantar ke rumah ibu mentuanya pada 18 Mei lalu selepas dia berasa tidak dihormati oleh mangsa.
Dia cuba menuduh adik iparnya, Luriyanti Putri yang menemukan mayat mangsa berusia 57 tahun dalam keadaan berlumuran muntah pada keesokan hari.
Tangkapan dibuat selepas Luriyanti memberitahu penyiasat bahawa mangsa menerima sate ayam daripada seorang individu tidak dikenali sehari sebelum mayatnya ditemukan.
“Pesanan itu bukan dibuat oleh saya dan saya telah melarang ibu untuk tidak memakan makanan tersebut,” kata Luriyanti.
Pihak berkuasa menggali semula mayat mangsa dan ujian forensik mendapati tanda-tanda keracunan di kebanyakan organ utama serta kesan bahan kimia toksik.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Boyolali, Indrawan Wira Saputra menyatakan pembunuhan itu dirancang dengan teliti.
Purwadi dilaporkan menyamar sebagai Putri dalam aplikasi penghantaran, menggunakan nama dan fotonya sebagai butiran akaun.
Suspek berjaya diberkas tetapi belum didakwa secara rasmi atas kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman mati atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara. – AGENSI














