PETALING JAYA – Setahun selepas tragedi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, luka yang ditinggalkan mungkin mula sembuh, namun parutnya akan kekal dalam ingatan seluruh warga universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, universiti berkenaan tidak pernah melupakan mangsa dan keluarga yang terlibat sejak tragedi menyayat hati itu berlaku pada 9 Jun tahun lalu.
Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa terus terbela, termasuk menyalurkan bantuan
kewangan sebanyak RM5,000 kepada 42 keluarga pelajar pada 7 Jun lalu.
“Luka itu mungkin mula sembuh, tetapi parutnya tetap ada. Seluruh warga UPSI masih menyimpan kenangan terhadap mereka yang terkorban dan terlibat dalam tragedi tersebut.
“Kami tidak pernah meninggalkan keluarga mangsa. Hubungan itu masih diteruskan sehingga hari ini menerusi lawatan berkala, bantuan kaunseling serta bantuan dalam urusan tuntutan insurans dan perkara berkaitan perundangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ketika tragedi itu berlaku, Md. Amin merupakan antara individu terawal yang tiba di hospital sekitar pukul 2.45 pagi bagi menenangkan ahli keluarga mangsa serta menyelaras pelbagai urusan berkaitan kebajikan pelajar yang terlibat.
Beliau mengakui detik berkenaan merupakan antara pengalaman paling sukar sepanjang kerjayanya dalam dunia pendidikan apabila terpaksa berdepan kesedihan ibu bapa yang kehilangan anak dalam sekelip mata.
“Ketika itu saya berasa sangat sedih, sangat terkejut. Namun dalam kesedihan itu, saya amat terharu melihat bagaimana seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang tampil membantu.
“Dari agensi kerajaan, NGO, sukarelawan hinggalah orang awam, semuanya datang menghulurkan bantuan. Terima kasih juga kepada pemberita kerana membantu menyampaikan maklumat tepat dan sahih,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Md. Amin merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menunjukkan semangat keprihatinan dan kemanusiaan luar biasa sepanjang tragedi tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Tragedi ini membuktikan bahawa nilai keinsanan dalam masyarakat kita tidak pernah hilang.
“Terima kasih kepada semua agensi penyelamat, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Perak dan Terengganu, menteri-menteri, serta Duli-Duli Yang Maha Mulia yang turun menyantuni keluarga mangsa.
“Jasa mereka tidak akan dapat kami balas. Ketika kami berasa sangat sedih dan terkejut dengan kejadian itu, kami turut terharu melihat bagaimana seluruh negara, malah masyarakat antarabangsa, tampil membantu,” katanya.
Md. Amin juga berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan kini adalah penerbitan sebuah buku khas mengenai tragedi itu yang bertajuk UPSI Berduka.
Buku yang menghimpunkan kisah dan pengalaman semua pihak yang terlibat dalam tragedi berkenaan termasuk mangsa yang terselamat, keluarga, sukarelawan, petugas penyelamat serta pemandu yang terlibat dijangka dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada bulan ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UPSI turut memperkenalkan beberapa langkah penambahbaikan keselamatan termasuk mengeluarkan garis panduan baharu kepada para pelajar.
Antaranya, para pelajar tidak digalakkan pulang ke kampung halaman pada waktu malam serta menyediakan satu sistem untuk pelajar merekodkan perjalanan mereka.
“Universiti juga memberi fleksibiliti kepada pelajar, seperti kita tahu ada cuti umum yang tak panjang. Jadi kita benarkan sesi pembelajaran dijalankan secara dalam talian untuk membolehkan pelajar merancang perjalanan sebaiknya,” katanya.














