fbpx
XIN YING berjaya memenangi kategori The Open Worlds Amateur Solo Ballroom pada pertandingan The UK Blackpool Tower Competition di England baru-baru ini.

Xin Ying harumkan nama Malaysia di pentas ballroom dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA usia 18 tahun, ketika ramai remaja lain masih mencari hala tuju hidup, Ng Xin Ying sudah berjaya mengukir nama di pentas tarian ballroom antarabangsa.

Baru-baru ini, pelajar World Dance Academy, Kuala Lumpur itu mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara kategori The Open Worlds Amateur Solo Ballroom dalam pertandingan tarian ballroom antara paling berprestij di dunia, The UK Blackpool Tower Competition.

Kejayaan itu tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya ia merupakan hasil dedikasi dan latihan berterusan yang bermula sejak Xin Ying masih kanak-kanak.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dengan tarian ballroom sewaktu masih kanak-kanak iaitu sekitar usia tujuh tahun.

“Saya belajar tarian kerana minat. Namun seiring berjalannya waktu, saya mula merasai kepuasan serta kekuatan ekspresi diri melalui tarian.

“Minat inilah yang menjadi pendorong utama saya untuk terus berlatih sehingga hari ini,” kongsinya kepada K-Remaja.

Minat mendalam terhadap muzik dan pergerakan menjadi faktor utama yang membuatkannya memilih tarian ballroom berbanding sukan atau aktiviti lain.

Baginya, tarian ballroom menawarkan gabungan unik antara seni persembahan dan kecergasan fizikal.

“Tarian ballroom bukan sahaja menekankan kecergasan, malah emosi dan kehadiran di pentas. Keseimbangan inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam bidang ini,” ujarnya.

Di sebalik kejayaannya, Xin Ying mengakui sokongan keluarga memainkan peranan sangat besar dalam perjalanan seninya.

Remaja berbakat besar itu menyifatkan ibu bapa sebagai sumber inspirasi utama yang sentiasa berada di belakangnya dalam setiap langkah.

“Mereka sentiasa memberikan sokongan penuh dari segi emosi dan praktikal sepanjang latihan atau pertandingan.

“Selain itu, saya amat berterima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya,” katanya.

Bagi pertandingan di Blackpool, England, Xin Ying menjalani rutin latihan yang cukup intensif bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik.

“Saya menjalani latihan teknikal dan fizikal secara konsisten, selain berlatih bersama rakan sepasukan untuk saling memperbaiki kelemahan,” ujarnya.

Hakikatnya, perjalanan Xin Yin menuju kejayaan bukan semudah disangka. Dia perlu berhadapan dengan tekanan untuk bersaing dengan penari bertaraf antarabangsa yang memiliki teknik, gaya dan pengalaman di pentas tertinggi.

“Cabaran terbesar adalah untuk mengekalkan keyakinan serta prestasi yang konsisten dalam suasana persaingan sangat sengit,” katanya.

Seperti kebanyakan atlet dan penggiat seni lain, Xin Ying juga pernah berdepan saat-saat sukar yang membuatkannya hampir berputus asa. Namun, kecintaannya terhadap tarian menjadi kekuatan kepada dia terus melangkah.

“Saya sentiasa mengingatkan diri tentang sebab saya mula menari dan memilih untuk terus berlatih. Ketekunan dan disiplin membantu saya mengatasi cabaran tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaannya, Xin Ying berharap pencapaian itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia supaya berani mengejar impian masing-masing.

“Impian boleh dicapai dengan usaha dan kesungguhan.

KEJAYAAN Xin Ying di The UK Blackpool Tower Competition membuktikan bahawa remaja Malaysia juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Cabaran dan kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan. Yang penting, percaya pada diri sendiri dan berani mengejar peluang untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selepas menakluk salah satu pertandingan ballroom paling berprestij di dunia, Xin Ying tidak berhasrat untuk berhenti di situ.

Sebaliknya, dia mahu terus memperbaiki diri sebagai penari sambil menyumbang kepada perkembangan tarian dan sukan negara.

“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai remaja untuk berani mengejar impian mereka.

“Pada masa sama, saya ingin menyumbang secara positif kepada perkembangan tarian dan sukan di Malaysia,” katanya.

Dengan usia masih muda serta semangat yang tinggi, masa depan Xin Ying dalam dunia tarian ballroom dilihat cukup cerah.

Kejayaannya di Blackpool bukan sahaja membuktikan bakat dan kerja kerasnya, malah menjadi bukti bahawa anak muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan peserta terbaik dunia.

Selain muncul juara kategori The Open Worlds Amateur Solo Ballroom (5 Dances), Xin Ying turut mencatatkan prestasi cemerlang dengan meraih gelaran juara dalam kategori Amateur Solo 3 Dance Ballroom.

Dia juga muncul naib juara bagi kategori Under 19 Solo 2 Dance Ballroom, The Open Worlds Under 19 Solo Ballroom (4 Dances) dan Youth Solo 3 Dances Ballroom.

Dia turut menduduki tempat ketiga dalam kategori The Open Worlds Youth Solo Ballroom (5 Dances).

Sementara itu, rakan sepasukannya, Goh Meng Zhe menamatkan saingan di tempat keenam bagi kategori The Open Worlds Amateur Solo Ballroom (5 Dances) dan tempat keempat dalam Amateur Solo 3 Dance Ballroom.

Seorang lagi wakil Malaysia, Rayner Chin Liang Hung menduduki tempat ketujuh dalam The Open Worlds Amateur Solo Ballroom (5 Dances) serta meraih tempat ketiga dalam kategori The Open Worlds Amateur Solo Challenge (Q).

Kejayaan pelajar World Dance Academy meraih gelaran juara di The UK Blackpool Tower Competition bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada institusi itu, malah memberi suntikan semangat kepada komuniti dance sport negara.

Sementara itu, salah seorang jurulatih World Dance Academy, Johnston Lim berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan penari terbaik dunia sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan peluang sewajarnya.

Menurutnya, potensi pelajar-pelajar terbabit mula terserlah selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Selepas mendapat pendedahan yang baik melalui pertandingan di peringkat kebangsaan, kami mula menyedari potensi mereka untuk pergi lebih jauh.

“Namun, cabaran utama biasanya adalah mendapatkan latihan yang berkualiti serta peluang mencukupi untuk berkembang dari peringkat kebangsaan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebagai jurulatih yang berpengalaman dalam bidang tarian ballroom, Lim percaya kejayaan seseorang penari bukan hanya bergantung kepada bakat, sebaliknya sikap serta kesungguhan untuk terus belajar.

Menurut Lim, antara keistimewaan yang membezakan pelajar-pelajar tersebut daripada penari muda lain adalah keupayaan mereka menyerap ilmu dan pengalaman dengan cepat.

“Mereka mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menyerap ilmu dan pengalaman dalam tarian ballroom dengan cepat.

“Selain itu, mereka mempunyai sikap yang betul serta kesungguhan untuk memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi jurulatih World Dance Academy, Joanne Leong berkata, dalam dunia tarian kompetitif, disiplin dan komitmen merupakan asas utama yang perlu dimiliki oleh penari yang ingin berjaya.

“Kualiti paling penting bagi seorang penari kompetitif adalah disiplin dan komitmen.

“Kedua-dua aspek ini memainkan peranan besar dalam memastikan perkembangan dan kejayaan,” ujarnya.

Walaupun kejayaan di pentas antarabangsa menjadi impian ramai penari muda, namun perjalanan ke arah mencapai tahap tersebut bukanlah mudah.

Antara cabaran terbesar dalam melatih atlet muda adalah memastikan mereka dapat mengimbangi latihan dengan tanggungjawab lain.

“Pengurusan masa latihan merupakan antara cabaran terbesar.

“Ramai penari muda yang aktif turut terlibat dalam pelbagai aktiviti lain, termasuk pelajaran dan kokurikulum.

“Oleh itu, mencari masa yang sesuai untuk latihan secara konsisten kadangkala menjadi satu cabaran,” ujar mereka.

Mengulas mengenai kejayaan di Blackpool, Leong menyifatkannya sebagai pencapaian yang sangat bermakna buat World Dance Academy serta seluruh komuniti dance sport Malaysia.

“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan besar buat kami,” kata Leong.

Malah, dia berharap kejayaan tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda untuk mendekati dan menceburi bidang tarian ballroom secara serius.

Tambahnya, minat terhadap ballroom dan dance sport dalam kalangan generasi muda kini menunjukkan perkembangan positif berbanding beberapa tahun lalu.

“Kami melihat semakin ramai anak muda Malaysia mula menunjukkan minat terhadap tarian ballroom dan dance sport.

“Semakin ramai yang menyedari bahawa ballroom bukan sahaja satu bentuk seni, malah sukan yang memerlukan disiplin, kecergasan dan dedikasi tinggi,” ujar Leong.

Dengan peningkatan minat serta pencapaian yang semakin memberangsangkan di peringkat antarabangsa, masa depan dance sport Malaysia dilihat semakin cerah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN