Bagi seorang gadis berusia 20-an dari Seattle, Amerika Syarikat, dia hanya mahu menjalani hidupnya dengan tenang di tengah suasana bandar yang moden dan penuh kehidupan.
Di sebalik rutinnya yang sederhana, Mara McGinnis menemukan satu kebiasaan yang menjadi ruang paling peribadi untuk dirinya bercerita iaitu menerusi aktiviti journaling.
Setiap helaian buku catatannya dipenuhi dengan detik-detik kecil yang membentuk hari-harinya.
Bagi gadis itu, jurnal juga membantu dirinya untuk menyimpan memori kehidupan.
McGinnis mula berkongsi perjalanannya menulis jurnal pada 2024.
“Untuk jurnal pertama saya, saya memulakannya muka surat pertama dengan berkongsi kata-kata positif.
“Ini kerana, secara peribadinya saya kurang keyakinan diri dan saya mahu kata-kata positif dalam jurnal tu benar-benar kena dengan ketidakselesaan dan rasa tidak yakin dalam diri saya,” katanya.
Sejak itu, dia kerap berkongsi perjalanannya dalam penulisan jurnal di akaun TikTok miliknya.
Jurnal yang ditulis McGinnis juga cukup unik dan berseni kerana dia bukan cuma menulis, namun dia akan mencari dan mencetak gambar-gambar yang bersesuaian untuk ditampal dan disusun dengan cantik dalam jurnal miliknya.
McGinnis memberitahu, apabila dia terasa penat, menulis jurnal ibarat satu terapi minda.
“Saya suka ‘hilang’ dalam seni menghasilkan jurnal.
“Ada sesuatu yang menenangkan apabila tangan saya dapat bekerja untuk menghasilkan sesuatu yang saya suka,” katanya.
Menurut McGinnies, hobi journaling juga bukan satu hobi yang mahal.
Dia bahkan akan mencetak helaian untuk ditampal dalam journal miliknya dari perpustakaan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perpustakaan bukan cuma untuk buku.
“Di Seattle, orang awam boleh mencetak 14 helai kertas berwarna secara percuma di perpustakaan dan saya mengambil peluang itu untuk mencetak gambar-gambar yang saya perlukan untuk jurnal saya,” katanya.
Selain gambar, McGinnis menggunakan pen berwarna dan pelekat bergam yang menambah karakter pada setiap helaian jurnal miliknya.
Journaling merupakan antara salah satu hobi yang semakin popular dan berkembang dengan cepat. Ini kerana ia dilihat sebagai satu bentuk refleksi diri yang membantu seseorang memahami emosi dan pemikiran dengan lebih mendalam.
Melalui penulisan yang konsisten, individu dapat mengenal pasti corak perasaan yang sering berulang dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini secara tidak langsung membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tenang dan teratur.
Selain itu, aktiviti journaling memberi ruang untuk seseorang melepaskan tekanan tanpa perlu berkongsi dengan orang lain.
Ia menjadi medium yang selamat untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati tanpa rasa takut dihakimi.
Proses itu membantu mengurangkan beban mental dan memberi rasa lega selepas setiap sesi penulisan.
Bagi sesetengah individu, journaling bukan sekadar hobi tetapi juga satu rutin harian yang memberi struktur kepada kehidupan mereka.
Aktiviti itu sering menjadi permulaan atau penutup hari yang membantu menenangkan fikiran sebelum meneruskan aktiviti lain.
Konsistensi dalam menulis juga menjadikan ia satu kebiasaan yang sukar ditinggalkan kerana kesan positifnya yang berterusan.
McGinnis turut berkongsi tip buat mereka yang mungkin berdepan cabaran untuk terus menulis jurnal.
“Buat mereka yang mungkin berdepan cabaran untuk terus menulis jurnal, tip yang boleh saya kongsikan di sini adalah mungkin letakkan jurnal anda di kawasan yang mudah dicapai.
“Cara ini membantu anda untuk menggunakannya dengan lebih kerap. Selain itu, padankan rutin harian anda dengan aktiviti jurnal.
“Sebagai contoh, jika anda akan minum kopi setiap pagi, ingatkan diri anda untuk menulis jurnal sebaik sahaja anda selesai minum kopi.
“Ini kerana, apabila anda memadankan journaling dengan sesuatu yang anda memang buat setiap hari, ia akan memudahkan anda untuk tidak meninggalkan aktiviti itu,” katanya.














