BINDER mempunyai sebuah kedai jahit yang dikenali sebagai Downtown Sewing.

Tak salah lelaki minat jahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seorang jejaka dari Toronto, Kanada membuktikan bahawa minat terhadap jahitan bukan sekadar hobi golongan berusia, malah dia yang berumur 26 tahun juga meminatinya hingga mampu menjadi kerjaya dan wadah merapatkan hubungan masyarakat.

Bahkan kini, Tobias Binder sudah membuka kedai jahitnya sendiri yang dinamakan sebagai Downtown Sewing berhampiran Trinity Bellwoods, Kanada.

Menerusi kedai itu, dia bukan sahaja menawarkan pelbagai mesin jahit baharu dan terpakai, malah menyediakan perkhidmatan membaiki mesin serta kelas jahitan untuk pelbagai peringkat kemahiran.

Menariknya, kelas yang ditawarkannya mendapat sambutan luar biasa apabila semua tempat habis ditempah dalam tempoh beberapa jam selepas pendaftaran dibuka.

Bagi kelas asas, peserta akan mempelajari cara menukar jarum, memasang semula benang, membersihkan mesin dan menghasilkan jahitan asas.

Pada penghujung kelas, mereka akan menyiapkan sebuah beg jinjing kecil.

“Saya akan mengajar tabiat yang betul ketika menggunakan mesin jahit, termasuk cara menyediakan mesin dan menghasilkan jahitan asas,” katanya.

Binder turut memperkenalkan kelas jahitan untuk pasangan yang mahu menikmati aktiviti bersama sambil mempelajari kemahiran baharu.

Empat pasangan akan berkongsi mesin jahit dan menghasilkan apron dapur dengan bimbingannya.

Minat Binder terhadap dunia jahitan bermula ketika berusia 20 tahun.

Pada tahun 2019, nenek saudaranya, Paula menghadiahkan mesin jahit pertama Binder yang ketika itu baru menamatkan pengajian dalam bidang muzik.

Daripada minat terhadap mesin jahit vintaj, Binder mula membaik pulih dan menjual mesin berkenaan.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, dia turut menjahit puluhan pelitup muka sebelum menyedari kemahirannya lebih diperlukan untuk membaiki mesin jahit milik orang lain.

“Saya fikir lebih berguna jika saya membaiki mesin jahit yang menjahit pelitup muka daripada menambah jumlah pelitup muka perlu dijahit,” katanya.

Selepas mengikuti kursus membaiki mesin jahit selama 10 hari di Texas, Amerika Syarikat, Binder kembali ke Kanada dan bekerja dengan Janome Canada sebagai tenaga pengajar sebelum menjadi wakil jualan.

Namun menjelang penghujung tahun 2024, dia mula menginginkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik, sekali gus mendorongnya membuka perniagaan sendiri.

“Ini cara terbaik untuk menggabungkan semua kemahiran dan pengalaman saya.

“Saya boleh mencari rezeki, berkongsi ilmu dan menjadi anggota masyarakat yang baik,” katanya.

Bagi Binder, jahitan juga berpotensi menghubungkan golongan muda yang mahukan ruang untuk bersosial secara semula jadi.

Dia melihat ramai individu berusia 24 hingga 35 tahun di sekitar Toronto berminat mempelajari kemahiran itu, meskipun jahitan hari ini tidak semestinya lebih murah berbanding membeli pakaian siap.

Malah Binder berharap, penglibatannya dapat menggalakkan lebih ramai lelaki muda mendekati dunia jahitan yang lazimnya didominasi wanita berusia.

“Saya pernah menerima mesej daripada ibu bapa yang anak lelaki mereka berusia 10 tahun mahu belajar menjahit kerana terlalu minat,” katanya.

Menurut Binder, sesiapa sahaja yang berminat dialu-alukan untuk belajar, tanpa mengira usia atau jantina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN