Luluh hati saat mengetahui seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan tragis, terjatuh dari tingkat 12 sebuah apartmen di Johor Bahru, kelmarin.
Si kakak yang berusia 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya berumur lapan tahun berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
Kejadian sekitar pukul 8 pagi dengan kedua-dua mangsa dilaporkan terjatuh dari kediaman mereka ke tingkat tujuh apartmen. Apartmen berkenaan mempunyai 24 tingkat.
Pada 1 Jun lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut terjatuh dari tingkat 13 bangunan. Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Cahaya Ampang dengan ketika kejadian mangsa dilaporkan tinggal sendirian.
Kisah lain seumpama ini melibatkan kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 30, sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.
Peristiwa pahit ini bukan sahaja menjadi sejarah hitam buat keluarga kanak-kanak ini tetapi ‘wake up call’ untuk para insan bergelar ibu dan bapa.
Lupakan sejenak punca kejadian, siapa yang bersalah kerana perkara terpenting itu biarlah polis yang menyiasat. Tugas kita bertindak dalam memastikan keselamatan anak-anak terjaga.
Kebanyakan insiden jatuh mungkin disebabkan mereka berada di tepi balkoni atau tingkap sebelum cuba memanjat menggunakan kerusi mahupun katil.
Kebiasaannya atas pelbagai tujuan, sama ada mencari seseorang, tertarik dengan pemandangan atau rakan-rakan yang bermain di bawah.
Ketika ini apartmen, pangsapuri tumbuh bak cendawan sementara rumah teres mahal tidak terkata, keadaan itu turut menyumbang kepada ‘rumah tinggi’ menjadi pilihan ibu bapa membesarkan anak-anak.
Lihat sekeliling kawasan kediaman sama ada terdapat unsur-unsur yang boleh mengundang kepada kejadian yang diingini.
Di mana letaknya barangan rumah seperti kerusi, meja dan sofa. Adakah cukup gril atau jeriji besi yang dipasang. Adakah kesemuanya berkunci dengan selamat.
Ini kerana kanak-kanak sifatnya dipenuhi dengan perasan ingin tahu yang tinggi, mereka suka bermain, kreatif dan mempunyai imiginasi yang tinggi. Kita susun jauh meja mereka tarik kerusi.
Itulah mereka, lagi ditegah lagi mereka suka melakukannya kerana sifat mahu mencuba itu tinggi. Mereka tidak tahu bahaya menanti. Mereka mahu jadi ‘superhero’ seperti kebanyakan cerita.
Keadaan yang kita fikirkan tidak berbahaya dan selamat mungkin sebaliknya, menjadi titik tolak sesuatu kejadian.
Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak agar tidak memanjat disamping memperkukuhkan soal keselamatan di rumah. Orang lain mampu menzahirkan kesedihan tetapi menanggung hanya individu yang melaluinya.
Kepada netizen yang mempunyai video mangsa jatuh, atau menyebarkan rakaman sensitif jangan menambah kesedihan keluarga. Hormat.















