PETALING JAYA – Setahun sudah berlalu, namun tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik pada 9 Jun 2025 masih meninggalkan kesan mendalam dalam hati rakyat Malaysia.
Nahas yang mengorbankan sekumpulan anak muda yang sedang mengejar cita-cita sebagai pendidik bukan sahaja merentap impian mereka, malah meninggalkan luka mendalam buat keluarga, rakan-rakan dan seluruh warga UPSI.
Tragedi yang berlaku pada pukul 1.10 pagi itu meragut 15 pelajar harapan bangsa yang sedang menuntut ilmu dan mempunyai bercita-cita besar untuk berbakti kepada negara.
Mereka yang terkorban ialah Nurul Izyanti Muhamad Azahar, Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, Muhammad Adib Hazim Halim, Nurul Fatihah Abu Setaman dan Muhammad Mustaqim Rosde.
Turut terkorban Nur Ainul Qistina Mat Ali, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, Nurly Sahirah Azman, Sufea Adela Maslihaizan, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian dan Fatin Nasrien Fadli.
Turut maut dalam nahas sama ialah Nor Ayuni Maslan, Anis Soffiyya Md Zaidi dan Fakhrul Arif Rosdi.
Kesemua mereka menaiki bas dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Seramai 13 pelajar disahkan maut di lokasi nahas, manakala dua mangsa lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Sementara itu, 33 mangsa yang lain mengalami pelbagai kecederaan.
Operasi menyelamat yang dijalankan anggota bomba berdepan cabaran kerana suasana gelap, bentuk muka bumi yang curam dan kedudukan bas yang terbalik. Mangsa yang tersepit terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, nahas berpunca akibat kegagalan sistem brek dan tindakan pemandu semasa menuruni cerun.
Menurut laporan itu, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brek drum belakang sebelah kiri, serta pencemaran gris atau minyak pada ‘brake lining’ dan ketidakseragaman komposisi bahan lining.
Keadaan itu mengurangkan daya geseran brek dan mempercepatkan berlakunya fenomena ‘brake fade’. Pada masa sama, bas persiaran tersebut dipandu pada kelajuan yang melebihi had kelajuan selamat.
Analisis video menganggarkan kelajuan bas ketika kejadian adalah 114.7 kilometer sejam (km/j) melepasi julat kelajuan kritikal bagi kejadian terbalik 111.3 hingga 114.5 km/j.
Tragedi tersebut mewujudkan gelombang sedih dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan dan orang ramai tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa dan pelajar yang cedera.
Nahas itu turut mencetuskan perbincangan hangat mengenai aspek keselamatan pengangkutan awam, keadaan Jalan Raya Timur-Barat dan pematuhan syarikat pengendali bas terhadap standard keselamatan. – KOSMO! ONLINE














