Saudara Pengarang,
Setiap tahun, ribuan graduan menamatkan pengajian dengan penuh harapan. Namun begitu, tidak semua bernasib baik mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan mereka.
Kadar pengangguran dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi terus menjadi isu yang membimbangkan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengatasinya.
Salah satu faktor utama yang sering dibincangkan oleh pakar ekonomi dan pemain industri ialah kecenderungan graduan untuk terlalu memilih dalam soal pekerjaan.
Selain terlalu memilih kerja, jurang kemahiran antara graduan dan keperluan industri turut menjadi cabaran utama.
Hari ini, majikan lebih mengutamakan kemahiran praktikal seperti komunikasi, kepimpinan dan kebolehan menyelesaikan masalah, bukan sekadar pencapaian akademik.
Walaupun banyak kelemahan yang dikenal pasti datang daripada pihak graduan, tidak dinafikan bahawa struktur ekonomi negara dan pendekatan majikan turut memainkan peranan dalam masalah ini.
Terdapat syarikat yang meletakkan syarat pengalaman kerja bagi jawatan permulaan, walaupun hakikatnya graduan baharu masih belum berpeluang memperoleh pengalaman tersebut.
Majikan disaran membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk graduan mendapatkan latihan industri, menyertai program perantis, atau skim latihan khas agar mereka dapat membina keyakinan dan kemahiran praktikal sebelum bekerja secara tetap.
Di peringkat dasar, pelbagai program seperti MyFutureJobs, PENJANA KPT-CAP dan e-LATiH telah diperkenalkan.
Graduan hari ini perlu lebih bersedia dan fleksibel. Mereka tidak boleh bergantung kepada satu laluan kerjaya sahaja, sebaliknya perlu berani mencuba bidang baharu seperti pekerjaan dalam ekonomi gig, keusahawanan kecil atau kerja sambilan bagi menimba pengalaman.
Sikap proaktif sangat penting. Graduan digalakkan menyertai bengkel pembangunan diri, kursus pensijilan profesional dan program peningkatan kemahiran yang ditawarkan dalam talian.
Selain itu, mereka juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran dan menilai kekuatan serta kelemahan diri secara realistik.
Graduan perlu faham bahawa segulung ijazah bukan jaminan automatik untuk mendapatkan pekerjaan.
Apa yang lebih penting adalah kesanggupan untuk berubah, belajar perkara baharu dan membina nilai dalam diri agar sentiasa relevan dalam pasaran kerja yang kian mencabar.
Nurul Fathiah Jamaluddin
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia














