PETALING JAYA – “Saya tak pernah dibawa jumpa doktor sejak 30 tahun lalu, tetapi lebih enam kali keluarga bawa saya jumpa bomoh, untuk dapatkan air penawar dan sepanjang itu juga saya hidup dalam dunia tertanya-tanya.”
Demikian perkongsian seorang pereka grafik, Udin, 40, apabila dia hanya mengetahui dirinya didiagnosis dengan autisme lima tahun lalu selepas mengikuti program bersama komuniti autistik di Lembah Klang.
Katanya, mendengar pendedahan yang dibuat oleh wakil pusat jagaan tersebut serta perilaku anak-anak autistik membuatkan dia yakin bahawa dirinya juga sama seperti mereka.
“Saya tahu selama ini saya tak sama macam kawan-kawan yang lain. Saya mudah sensitif dengan persekitaran, susah untuk bercakap dan ada beberapa huruf yang saya tak boleh sebut dengan baik seperti S, T, R dan W.
“Sejak kecil lagi saya tak pandai bersosial. Tak tahu bagaimana nak berhubung serta bermain dengan orang lain,” katanya.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, pernah sekali ibu bapanya membawa dia ke hospital kerana pada usia lima tahun masih tidak pandai membaca.
“Doktor minta mereka rujuk saya ke pakar kanak-kanak kerana syak saya alami gangguan (klasik) autisme. Tapi zaman 1980-an masa itu saya faham, pengetahuan mengenai autisme tidak seperti sekarang.
“Ibu bapa saya ambil keputusan bawa saya ke bomoh kampung, dakwa mereka saya kena ‘guna-guna’ (sihir), dengar macam lawak, tapi itu realiti perjalanan hidup saya,” katanya.
Dia pernah mengurung diri selama dua tahun termasuk menjauhkan diri daripada penggunaan media sosial dan gajet.
“Masa umur 34 tahun, saya baru beranikan diri keluar bekerja dengan orang lain. Sebelum ini lepas tamat diploma dalam bidang grafik saya buat kerja sendiri dari rumah.
“Malangnya masa kerja dengan orang, saya sukar faham arahan sehingga dipulau rakan sekerja, beberapa kali diherdik majikan.
“Saya jadi terlalu tertekan, kurung diri, sebab jika tanya keluarga mereka kata saya sihat, tapi saya tahu saya tak sihat. Saya ambil keputusan berkurung dalam bilik. Keluar waktu makan dan mandi, selebihnya habiskan masa menulis diari dalam bilik,” luahnya.

Berkongsi pengalaman sama, seorang ibu tunggal, Noor, 34, berkata, sejak di sekolah rendah sehingga sekarang, dia sering diejek ‘pelik’ oleh orang sekeliling, namun apabila diceritakan kepada ibu bapa, mereka tidak tahu untuk bertindak sewajarnya.
“Ketika umur 13 tahun, saya didiagnos alami attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), tetapi bila saya bergaul dengan orang yang ada ADHD juga, tak sama seperti apa saya alami.
Berbeza sangat watak kami, paling ketara saya tak pandai nak bersembang dengan orang, eye contact pun tak ada masa itu.
“Selepas saya kahwin lapan tahun lalu, ketika anak saya berusia dua tahun, saya nampak wataknya macam saya, terus rujuk doktor dan disahkan alami autisme.
“Saya rasa kalau tak ada anak, saya mungkin masih tak jumpa jawapan apa masalah saya yang sebenarnya,” katanya.
Baginya, perkara itu seperti sudah terlambat, namun dia bersyukur sekurang-kurangnya dia tahu masalah apa dialaminya selama lebih 30 tahun hidup.
“Sekarang dalam proses nak buat kad OKU, saya syukur sebab kepayahan yang saya lalui selama ini seperti terjawab,” katanya.

Sementara itu, seorang pencipta kandungan, Hanis, 29, hanya mengetahui dia mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) selepas berkahwin apabila berpindah dari Johor ke Kedah bersama suami.
“Sebelum ini, saya didiagnos menghidapi bipolar pada 2017 dan ada buat terapi di hospital sehingga perlu tukar sebanyak 14 jenis ubat. Alhamdulillah, sebab buat terapi semua itu, saya boleh uruskan diri.
“Namun, selepas berkahwin pada Disember tahun lalu, saya pun terpaksa tukar hospital dan doktor dekat Kedah kesan saya ada simptom autistik.
“Sebab saya kan seorang yang sangat memerlukan rutin. Jadi bila tak dapat ikut rutin, benda itu trigger saya. Jadi doktor kata saya ada ciri-ciri autistik bila buat susulan pada Februari lalu,” ujar anak kelahiran Perak itu.
Kata Hanis, dia turut mengalami meltdown selepas berkahwin kerana tidak selesa dengan persekitaran selain tidak dapat melaksanakan rutin yang biasa dilakukannya.
“Tiga bulan pertama kahwin, saya meltdown hari-hari. Kalau makan saya hanya makan makanan yang sama. Contoh nak pergi beli barang dapur pun saya kena pergi kedai yang sama,” jelasnya.
Meskipun terpaksa berdepan cabaran yang besar, dia tidak mahu menyalahkan kedua-dua ibu bapanya kerana tidak dapat mengenal pasti dia mengalami ASD ketika kecil. -KOSMO! ONLINE














