Roslina menunjukkan lokasi seekor beruang matahari berjalan-jalan di kawasan rumahnya di Kampung Ibok, Kemaman semalam.

Beruang datang rumah selepas hidu bau wangi durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Penduduk di Kampung Ibok di sini digemparkan dengan kehadiran seekor beruang matahari yang berlegar-legar di hadapan rumah seorang suri rumah dipercayai selepas terhidu bau buah durian.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, haiwan liar ber­kenaan dikesan berada hanya kurang satu meter dari Roslina Embong, 56, yang ketika itu sedang berdiri di kawasan beranda rumahnya.

Wanita itu berkata, dia terse­rempak dengan beruang matahari itu ketika keluar rumah untuk menyalakan lampu siling di beranda.

“Memang terkejut kerana tubuh beruang itu sangat besar.

“Saya cepat-cepat masuk semula ke dalam rumah dan mengunci pintu kerana bimbang ke­selamatan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ibok di sini semalam.

Roslina berkata, haiwan liar itu kemudian memanjat pagar rumahnya sebelum menuju kediaman seorang jiran.

Tambahnya, dia percaya beruang matahari itu memasuki kawasan rumahnya kerana tertarik dengan bau buah durian yang di­letakkan di beranda rumah.

Sementara itu, Norsuzila Abdul Rasif, 41, pula mendakwa beberapa penduduk kampung juga pernah terserempak dengan haiwan liar tersebut.

“Situasi ini membuatkan kami bimbang untuk keluar rumah te­rutama pada waktu malam. Harap beruang matahari itu dapat ditangkap,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong yang dihubungi memaklumkan, pihaknya telah memasang perangkap untuk menangkap beruang matahari itu di perkampungan tersebut.

Beliau juga berharap penduduk yang terserempak dengan haiwan liar berkenaan agar segera menghubungi Perhilitan bagi memudahkan usaha penangkapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN