KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan empat jenama terkenal dalam industri fesyen tempatan, tersimpan seribu kisah yang mengikat hubungan kasih sayang sahabat dan kekeluargaan antara mereka sehingga berjaya berhimpun dalam satu program menarik di sebuah pusat beli-belah utama di segi tiga emas di sini.
Keempat-empat jenama ini yang diusahakan oleh wanita iaitu TudungPeople, Cuura, Olloum serta CalaQisya & Asal Lelaki telah menghiasi laman utama di The Starhill Kuala Lumpur untuk memperagakan serta menawarkan jualan hebat kepada para pelanggan khususnya para peminat masing-masing.
Sepanjang 11 hari bermula 22 Februari lalu, Pengasas TudungPeople, Fazrena Aziz; Sarah Shah Nor (Pengasas Cuura), Sumayyah Nasaruddin (Pengasas Olloum) dan Yana Khairuddin bersama suaminya yang mengasaskan jenama CalaQisya & Asal Lelaki berada di situ di bawah penganjuran program Destinasi Super T bertemakan Bougie Kampung.

Festival fesyen yang julung-julung kali itu telah berjaya memartabatkan jenama tempatan hasil usahawan bumiputera menguasai laman utama The Starhill yang sememangnya dikenali sebagai pusat beli-belah untuk golongan mewah dan atasan sahaja.
Namun, kerana jenama mereka sememangnya sudah terkenal dalam pasaran online dan offline serta ada yang telah berjaya memiliki beberapa outlet di pusat beli-belah, membolehkan keyakinan pihak pengurusan The Starhill bekerjasama menyokong projek unik itu.
Fazrena berkata, kesediaan pihak The Starhill membawa jenama tempatan ke pusat beli-belah ini telah berjaya menaikkan imej sekali gus semangat diri dan rakannya untuk menawarkan produk yang lebih baik kepada pelanggan pada masa depan.
Ini adalah peluang bagi mereka untuk membuktikan produk tempatan berada pada tahap setaraf dengan jenama antarabangsa lain, malah harga berserta kualiti yang ditawarkan adalah lebih baik.
“Selain menjual produk, kami juga telah mengadakan pelbagai sesi menarik bersama pelanggan kerana di sini bukan sahaja untuk kami berniaga tetapi mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan setia kami.

“Ini juga adalah masa terbaik untuk kami melancarkan koleksi baharu serta menawarkan diskaun menarik kepada mereka yang sedang membuat persiapan hari raya,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut baru-baru ini.
Antara aktiviti yang dijalankan sempena Destinasi Super T adalah pelancaran TP Gold Members Raya Activation oleh TudungPeople, ceramah kesihatan dan kecergasan masing-masing oleh Ollum dan Cuura serta juga Entrepreneurship Talk untuk membolehkan pelanggan mendapatkan pandangan berharga tentang keusahawanan daripada pakar industri.
Mengulas lanjut, Fazrena berkata, TudungPeople mahu menggunakan platform ini untuk mempromosikan pelbagai koleksi tudung terbaharunya yang memiliki lebih daripada 100 rekaan yang memiliki corak berbeza serta selesa dan bergaya untuk semua wanita
Selain itu, CalaQisya yang ditubuhkan pada tahun 2008 melihat peluang ini untuk memperkenalkan koleksi terbaharunya iaitu Calaraya2024 dan juga menganjurkan kempen Nyawa.
Yana sangat mengutamakan jenis fabrik yang dipilih dengan mengutamakan penggunaan benang semula jadi serta meminimumkan penggunaan poliester dalam produk keluarannya agar ia memberi keselesaan yang maksimum kepada si pemakai.
Selain itu, jenama tersebut turut menyokong koleksi pakaian untuk lelaki di bawah jenama Asal Lelaki oleh suaminya iaitu Hazwan Faiz.
Asal Lelaki bermula sejak dua tahun lalu sebagai subjenama daripada CalaQisya dan pengembangan operasi bagi jenama ini begitu pesat dalam tempoh berkenaan sehingga menjadi salah satu jenama yang disukai oleh kaum Adam untuk memiliki pakaian yang selesa tapi berkualiti selain menawarkan pilihan warna yang menarik.

Selain itu, Cuura telah membawa beberapa kakitangannya yang berpengalaman ‘memanjakan’ pelanggan di festival fesyen itu untuk mempromosikan pelbagai produk penjagaan kecantikan, malah membawakan ‘bilik spa’ kepada mereka yang mahu memanfaat perkhidmatan yang ditawarkan.
Sarah Shah membawa jenama Cuura di pasaran untuk membantu memenuhi keperluan pelanggan yang mencari produk semula jadi yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
Sementara itu, bagi jenama Olloum yang dibangunkan oleh Sumayyah menjadikan festival tersebut untuk memperagakan pakaian bersukan yang trendy dan selesa tapi masih mengekalkan konsep pakaian wanita Muslimah.
“Saya bermula dengan membuat pakaian untuk wanita Muslimah dan kemudian memberi tumpuan kepada pakaian sukan yang sederhana kerana terdapat keperluan di pasaran untuk mewakili wanita sederhana yang sporty.” katanya.
Olloum mengutamakan reka bentuk pakaian menggunakan Recycled Polyethylene Terephthalate (RPET) dan memasukkan lebih banyak rayon serta kapas ke dalam fabrik serta tidak menggunakan poliester biasa.
“Koleksi ini tidak membatasi pergerakan wanita Islam di luar sana selari dengan kesesuaian cuaca di Malaysia,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














