PONTIAN – Sepasang suami isteri bersyukur apabila doa yang dititipkan setiap kali lepas solat supaya mereka dipilih sebagai duyufurrahman sejak 14 tahun lalu akhirnya dimakbulkan selepas menerima surat pengesahan sebagai jemaah haji tahun ini.
Ab. Rahman Mohyin, 67, berkata, dia dan isteri, Salbiah Yunos, 63, menangis apabila menerima surat pengesahan daripada Tabung Haji (TH) kerana berpeluang untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Kata Ketua kampung kawasan (2) Mukim Pontian itu, walaupun tidak pernah menerima tawaran, dia telah mengikuti kursus haji sebanyak enam kali bagi mendapatkan pengetahuan berkaitan ibadah tersebut.
“Pada 2020, isteri ada terima tawaran tetapi ditolak kerana hanya dia seorang yang dapat. Alhamdulillah tahun ini kami dapat tawaran bersama dan dijangka bertolak pada pertengahan Mei nanti.
“Lebih menggembirakan apabila kami telah melepasi saringan kesihatan daripada Jabatan Kesihatan seperti mana yang ditetapkan oleh TH selain sudah selesai membuat passport antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Kampung Dalam Pontian di sini baru-baru ini.
Menurut Ab. Rahman, enam anaknya turut bergembira sebaik dimaklumkan mengenai tawaran menunaikan haji tersebut dan mendoakan mereka sihat sepanjang berada di Tanah Suci kelak.
Tambahnya, dia akan menggunakan pencen dan wang yang disimpan ketika bertugas di Jabatan Bekalan Air dan Syarikat Air Johor Daerah Pontian.
“Kami mempunyai enam anak, lima perempuan dan seorang lelaki yang masih belajar di Universiti Malaysia Kelantan serta 12 orang cucu dan tinggal di luar Johor,” jelasnya.
Ujar Ab. Rahman, kursus haji yang dihadirinya sebelum ini diharap dapat memudahkan lagi urusan mengerjakan haji ketika di Tanah Suci selain mendapat bimbingan petugas TH.
Sementara itu, Salbiah berkata, dia mengalirkan air mata apabila menerima khabar gembira daripada pihak TH kerana doanya selama ini akhirnya dimakbulkan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Katanya, ketika menerima surat tawaran pada 2020, dia merasa terkejut kerana hanya dia sahaja yang dapat.
“Mungkin bukan rezeki saya pada masa itu. Selepas empat tahun menunggu, saya dan suami bersyukur apabila dapat pergi bersama-sama menunaikan haji,” kata suri rumah itu.














