fbpx
Azman Zainuddin membantu isterinya Asrah Ahmad menjual ikan salai di Jerantut Feri, Jerantut baru-baru ini.

Peniaga ganti patin dengan ayam masak tempoyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Kekurangan bekalan ikan patin bukan sahaja merisaukan penternak, malah turut menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga kedai makan khususnya dalam menyediakan juadah berasaskan ikan patin.

Seorang peniaga kedai makan, Noraini Abd Latiff berkata, meskipun kedainya terkenal dengan masakan ikan patin tempoyak, namun dia kini terpaksa menumpukan kepada penyedia­an juadah berasaskan ayam dan makanan laut.

“Sejak kekurangan ikan patin di pasaran awal tahun ini, ramai pe­langgan yang datang ke kedai saya untuk menjamu selera kecewa apabila tidak ada sajian ikan patin tempoyak yang disediakan.

“Bukan saya tidak mahu memasak dan menjual, tetapi kami menghadapi masalah mendapatkan bekalan daripada penternak Sungai Pahang. Dalam seminggu, biasanya saya hanya dapat sediakan masakan ikan patin selama tiga hari,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Bukit Rang di sini kelmarin.

Menurutnya, dia juga hanya menjual juadah ikan patin khususnya ikan patin tempoyak dalam kuantiti yang sedikit.

Bagaimanapun, Noraini tidak bercadang menutup kedai makannya walaupun ikan patin berkurangan, sebaliknya akan terus beroperasi dengan memilih alternatif ikan laut dan ayam masak tempoyak.

Sementara itu, peniaga ikan patin salai di Jerantut Feri, Asrah Ahmad, 50, berkata, kekurangan bekalan ikan patin menjejaskan sumber pendapatannya apabila jualan semakin berkurangan.

“Walaupun berdepan dengan kekurangan bekalan ikan patin, kami tetap menjual sekadar termampu sekiranya ada bekalan.

“Kebanyakan pelanggan juga akan menunggu di hadapan gerai saya seawal pukul 8 pagi semata-mata untuk membeli ikan patin termasuk ikan salai yang masih panas untuk dibawa pulang,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan bekalan ikan patin sangkar di daerah ini dan Temerloh bukan sahaja semakin kritikal, malah dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan lagi ekoran kekurangan benih ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN