fbpx
PENAMBAHAN lorong di laluan bottleneck sangat perlu bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang menekan pengguna terutamanya pada waktu puncak. – Gambar hiasan

Seksanya tukar laluan dari enam lorong ke dua lorong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pembinaan lebuh raya baharu serta pelbagai laluan alternatif lain di sekitar ibu kota yang didakwa mampu menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas boleh diibaratkan ­seperti tidak membantu.

Hakikatnya, masalah pertukaran laluan atau lebih dikenali sebagai bottleneck yang menyebabkan semua kenderaan tertumpu untuk masuk ke jalan utama telah menyebabkan ke­sesakan dan kemalangan khusus­nya pada waktu puncak.

Seorang penduduk di Alam Budiman, Shah Alam, Fauziah Mat Isa, 38, mengakui sejak pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada 13 Oktober tahun lalu, kea­daan lalu lintas di sekitar rumahnya bertambah teruk termasuk pada hujung minggu.

Sebagai contoh katanya, perjalanan yang pada asalnya memakan masa 10 minit untuk ke Kayangan Heights kini mengambil masa sehingga satu jam.

“Sejak Lebuh Raya DASH dibuka, perubahan ketara ialah penambahan kereta. Memang di lebuh raya berkenaan lancar tetapi di penghujung lebuh raya iaitu di hadapan Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana, keadaan di situ memang sesak teruk.

“Bayangkan daripada empat laluan menjadi satu untuk ke Persiaran Mokhtar Dahari. Pada waktu puncak sebelah pagi ­keadaan masih terkawal dan bergerak, tetapi di sebelah petang kesesakannya sangat teruk.

“Memang pihak berkuasa akan buat contra flow sekitar pukul 5 petang hingga 8 malam, tetapi ia menyelesaikan masalah hanya buat sementara dan jalan akan kembali sesak seperti biasa walaupun selepas pukul 12 te­ngah malam,” katanya.

Luahan sama disuarakan Anas Irfan, 24, dari Putrajaya, yang berdepan kesesakan ­teruk di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) menghala ke Bukit Jalil dan Kuchai Lama.

Dia yang bekerja di Subang Jaya berkata, jarak hanya lima kilometer memakan masa sekitar 30 minit.

“Saya mengambil masa sekitar dua jam 30 minit untuk pulang ke rumah. Dahulu tidak ramai yang menggunakan lebuh raya ini mungkin atas faktor tol mahal dan mereka hanya gunakan sebagai laluan alternatif sahaja.

“Tetapi selepas pandemik Covid-19, jelas kelihatan penambahan kereta berkali ganda. Dari Putrajaya saya akan masuk laluan ­Lebuh Raya MEX, kemudian melalui Lebuh Raya Salak diikuti dengan Lebuh Raya Persekutuan. Bayangkan berapa ba­nyak ­kesesakan lalu lintas yang saya hadapi setiap hari untuk pejabat,” keluhnya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Ahmad Nabil Ismail, 27, turut mengaku kesesakan jalan raya adalah disebabkan terlampau banyak susur laluan masuk dan keluar di sepanjang Jalan Kuching dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Walaupun dirinya bertolak seawal pukul 6 pagi, namun masih lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke pejabat yang terletak di Putrajaya.

“Kalau lihat di sepanjang Jalan Kuching, mereka yang dari ­Selayang atau Batu Caves akan masuk ke jalan raya, diikuti ­dari Segambut serta Kepong. Kesesakan di situ memang teruk sehingga pukul 11 pagi.

“Ada masanya saya akan menggunakan Lebuh Raya DUKE tetapi tetap sesak juga kerana lebuh raya ini menghubungkan mereka yang tinggal di sekitar Gombak, Sentul, Wangsa Maju, Setiawangsa dan kawasan sekitar untuk ke ibu kota Kuala Lumpur.

“Jadi, penambahan kereta ­semakin hari semakin banyak, tidak ­terkawal dan makin menyesakkan. Lagi memburukkan keadaan jika berlakunya kemalangan. Memang adakala tidak bergerak dan sebenarnya banyak membuang masa di dalam kereta sahaja,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN