PETALING JAYA – Keadaan tren Laluan Rel Ringan 3 (LRT3) yang sesak pada hujung minggu menjadi perhatian ramai apabila seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman menaiki tren di Stesen Johan Setia yang dipenuhi penumpang sehingga menimbulkan rasa kurang selesa.
Perkongsian oleh pengguna @Shahrinkarim yang memaparkan keadaan dalam tren yang padat itu dan hantaran tersebut telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
“LRT3 Johan Setia, penuh sangat. Ramai ibu bapa bawa anak-anak. Tapi tak selesa. Terlampau padat dalam tren,” katanya.
Kebanyakan pengguna media sosial berpandangan keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan orang ramai mengambil peluang menikmati perjalanan percuma sempena pembukaan LRT3, selain membawa ahli keluarga bersiar-siar pada hujung minggu.
Seorang pengguna, @Fatihahzainordin berkata, situasi tren yang sesak masih boleh diterima selagi perkhidmatan beroperasi dengan lancar.
“Memang kebiasaan hujung minggu orang keluar berjalan-jalan, tambahan pula tambang masih percuma. Yang penting tren sampai mengikut jadual, tiada kelewatan, brek kecemasan atau masalah penghawa dingin,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Dreamteddy15, menganggap keadaan sama pernah berlaku ketika pembukaan MRT sebelum ini dan meminta orang ramai meraikan kemudahan baharu yang disediakan.
“Masa MRT dibuka dengan perjalanan percuma dahulu pun keadaannya lebih kurang sama. Raikan sahaja apa yang ada,” ujarnya.
Sementara itu, @Introbird12 berkata, tren sememangnya dijangka dipenuhi penumpang pada hujung minggu kerana ramai ibu bapa membawa anak-anak mencuba perkhidmatan baharu itu.
“Hujung minggu memang penuh dengan keluarga, tambahan pula perjalanan masih percuma. Orang tidak mahu melepaskan peluang untuk berjalan-jalan,” katanya.
Pengguna lain @Acappuad menyifatkan suasana itu memberikan pengalaman yang meriah apabila ramai keluarga menggunakan LRT3 untuk bersiar-siar di sekitar Shah Alam.
“Hujung minggu memang masa ibu bapa bawa anak-anak naik LRT. Hari bekerja nanti tren akan lebih dipenuhi golongan yang berulang-alik ke tempat kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE














